PERKASAKAN EKONOMI ISLAM MELALUI ZAKAT, WAKAF DAN SEDEKAH – SULTAN KEDAH

PETALING JAYA (03 Oktober 2024) – Perlu untuk kita sedari, bahawa di sebalik kewajipan berzakat yang diletakkan Allah sebagai salah satu rukun Islam, di sana ada juga dua ibadah harta lain yang telah disyariatkan kepada umat Islam iaitu wakaf dan sedekah. Ketiga-tiga ibadah ini mempunyai objektif yang sama iaitu untuk membuktikan sifat kehambaan kita kepada Allah di samping mengikis sikap bakhil, kedekut dan tamak dari hati umat Islam terhadap harta duniawi.

Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berititah sekalipun ibadah wakaf dan sedekah adalah bersifat sunat, namun tidak dinafikan impak wakaf dan sedekah ini dalam membangunkan ekonomi umat Islam seharusnya dimanfaatkan sebaiknya. Inilah keindahan agama Islam yang merangkumi semua aspek kehidupan dan hubungan sesama manusia.

“Orang Islam yang kaya hendaklah berbakti dengan harta yang Allah telah anugerahkan kepadanya, supaya dengan itu, orang-orang yang miskin tidak akan kelaparan dan melarat. Justeru itu, Beta amat mengharapkan supaya satu gabungan tenaga dan kerjasama antara semua pihak dan agensi terutamanya di negeri Kedah perlu terus diperkasakan bagi mengangkat syiar ekonomi Islam melalui ketiga-tiga sumber Zakat, Wakaf dan Sedekah ini dengan lebih berkesan.

“Beta amat yakin sekiranya semua sumber ini dapat diuruskan dengan cara yang betul dan proaktif, pastinya negeri Kedah Darul Aman akan menjadi aman dan makmur buat seluruh rakyat jelata,” titah Baginda.

Baginda berkata demikian dalam titahnya sempena Majlis Santapan Malam dan Apresiasi Rakan Strategik Lembaga Zakat Negeri Kedah Bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah di Topaz & Ruby Ballroom, One World Hotel, Petaling Jaya, Selangor di sini, malam tadi.

Berangkat hadir sama Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang; Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Abd Rahman Abdullah; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Zakaria Othman.

Dalam perkembangan sama, Baginda berkata sebagai penaung dan pemerintah negeri Kedah Darul Aman, Beta mempunyai keyakinan dan harapan yang tinggi kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) untuk terus berada di hadapan menerajui institusi pengurusan zakat di Malaysia terutamanya dari aspek urus tadbir yang baik, kecanggihan teknologi, ketelusan dan inovatif.

“Oleh itu, Beta merasakan bahawa sudah tiba masanya semua tokoh korporat, tokoh agamawan serta rakan-rakan strategik yang lain terutamanya dari kalangan anak-anak Kedah untuk turun padang berkongsi pengalaman, kekuatan dan kemahiran masing-masing kepada LZNK bagi memastikan tahap ekonomi sosial rakyat di negeri Kedah terus dibangunkan dan dibela sebaiknya.

“Beta juga telah disembah maklum bahawa pada malam ini juga akan diadakan pelancaran Sijil Wakaf Tunai “Projek Hassan”, iaitu sebuah projek ekonomi berasaskan pertanian yang telah dilaksanakan LZNK bagi mewujudkan satu alternatif eko-sistem baharu yang lebih sihat dan adil kepada para petani di Kedah.

“Beta berasa amat sukacita dengan usaha yang amat proaktif sebegini dalam menggabungkan elemen-elemen zakat, wakaf dan sedekah untuk bergerak seiring dan sejalan dalam memartabatkan ekonomi orang-orang Islam.

“Semoga usaha ini tidak terhenti dengan Projek Hassan ini sahaja, malah dikembangkan lagi kepada projek-projek lain yang boleh memberi manfaat kepada ummah seluruhnya,” ujar Baginda.

Dalam majlis tersebut turut diadakan penyerahan zakat perniagaan oleh 15 buah syarikat korporat dengan jumlah keseluruhan RM21.48 juta, Pelancaran Sijil Wakaf Tunai “Projek Hassan” dan penyerahan sumbangan bagi melaksanakan “Projek Hassan” Lembaga Zakat Negeri Kedah oleh 13 buah institusi perbankan dan korporat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.18 juta.

Sumber Berita : Lembaga Zakat Negeri Kedah
Rujukan : Warta Kedah