SUNGAI PETANI (26 September 2024) – Usaha-usaha menterjemahkan buku-buku terbitan bahasa Melayu ke bahasa-bahasa lain dan dari bahasa lain ke Bahasa Melayu perlu dipergiatkan lagi untuk menyebar luaskan ilmu kerana bahasa ini adalah satu faktor penting dalam penyebaran ilmu adalah dari buku-buku.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata mengikut satu sumber yang diperolehinya, ada sekitar 10 ribu bahasa telah pupus, maka akan berlaku malapetaka besar kepada peradaban dunia kerana pentingnya ilmu dengan bahasa yang boleh didapati melalui buku.
“Adalah sangat penting untuk kita memperkukuhkan bahasa kita kerana bahasa kita pun adalah bahasa ilmu yang usianya ratusan tahun dan mempunyai karya-karya besar yang ditulis dalam tulisan Jawi. Jadi tulisan Jawi itu perlu diajar dan diwariskan supaya kita tidak lupa bahawa terlalu banyak ilmu orang dahulu terutamanya dalam kitab-kitab yang disampaikan dalam Bahasa Melayu bertulisan Jawi.
“Saya amat berharap perkara ini akan mendapat perhatian dari pihak yang bertanggungjawab dan ianya perlu direalisasikan dalam bentuk buku-buku walaupun pada zaman sekarang ini orang ramai banyak membaca melalui aplikasi digital atau Media Sosial.
“Sebagai contoh, kita mewujudkan ‘QR Code’ di perpustakaan pada setiap sudut bacaan supaya orang ramai yang berkunjung dapat menggunakannya bagi membaca bahan-bahan yang terdapat di dalam setiap buku yang ada di perpustakaan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pesta Buku Kedah 2024 di Kompleks Village Mall, Sungai Petani di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dan Perpaduan Negeri, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, Azizan Hamzah; Pegawai Daerah Kuala Muda, Dato’ Abdul Gafar Yahya; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani, YM Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Shahizan Affandi Zakaria.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Sanusi berkata buku juga menjadi penyalur ilmu, membantu proses integrasi sosial dan nasional, menonjolkan nilai budaya setempat, memudahkan penyertaan orang ramai dalam aktiviti pembangunan dan menggalakkan pembangunan kerjasama di peringkat antarabangsa.
“Buku juga berupaya membenihkan ilham pemikiran kritis daripada segi politik, falsafah serta sosioekonomi dalam kalangan kelompok manusia. Bukan sahaja ilmu itu penting, tetapi ia juga bergantung kepada kualiti penerbitan. Penerbitan bahan bacaan yang berkualiti menjamin keberhasilan masyarakat yang berbudaya ilmu.” ujarnya.
Dalam pada itu, Halimaton dalam ucapan aluannya berkata Pesta Buku Kedah 2024 kali ini diadakan selama seminggu bermula 23 hingga 29 September 2024 dengan sasaran 200,000 orang pengunjung dan nilai jualan mencecah RM250,000 berbanding pada tahun 2022, seramai 102,336 orang pengunjung telah hadir, dan angka itu melonjak kepada 147,661 pada tahun 2023, dengan nilai jualan mencapai RM153,400.
“Dengan sambutan yang begitu menggalakan dari masyarakat di negeri ini maka kita berharap agar usaha ini akan membuka jalan untuk menganjurkan sebuah mega Pesta Buku Kedah pada tahun hadapan sempena Tahun Melawat Kedah 2025,” katanya.
Sumber Berita : Warta Kedah