BAHASA KEBANGSAAN HARUS DIMARTABATKAN

ALOR SETAR (26 September 2024) – Dalam menyahut seruan Menteri Pendidikan Malaysia dalam usaha mempergiatkan gerakan memartabatkan bahasa kebangsaan dalam pelbagai bentuk program di peringkat Kementerian, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Persekutuan dan Agensi, pihak Bahagian Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah menyahut seruan dengan pelaksanaan Program Semarakkan Bahasa Kebangsaan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dengan penganjuran Pertandingan Resensi Buku dan Pertandingan Deklamasi Sajak yang terbuka kepada penjawat awam di negeri Kedah.

Penganjuran pertandingan ini melibatkan kerjasama daripada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah yang bertujuan menggalakkan minat membaca dan penghasilan penulisan kreatif di kalangan penjawat awam negeri, selain menyemarakkan semangat cintakan Bahasa Kebangsaan.

Program ini menjadi platform program membina ilmu sepanjang hayat bagi memartabatkan Bahasa Kebangsaan, selain menggalakkan pegawai menjana idea kreatif dan inovatif untuk meningkatkan aktiviti membaca di tempat kerja dan memupuk pembacaan berkualiti di kalangan pegawai serta meningkatkan penguasaan Bahasa Kebangsaan.

Selain itu, program ini juga dilihat sebagai satu platform dalam mendidik penjawat awam agar dapat menghayati dan memartabatkan bahasa kebangsaan yang sejak sekian lama berperanan penting sebagai bahasa ilmu, bahasa pengantar pendidikan, bahasa perpaduan, bahasa kemajuan bangsa dan tonggak pembinaan negara bangsa.

Dalam pada itu, penjawat awam juga perlu menggalas tanggungjawab dalam mendaulat bahasa kebangsaan, tidak perlu tunggu tanpa mengambil sebarang tindakan dan kemungkinan sudah terlewat untuk membetulkan keadaan apabila teknologi komunikasi digantikan dengan teknologi yang lebih canggih pada masa akan datang.

Penjawat awam juga digalakkan mengguna Bahasa Melayu dengan baik dalam semua urusan rasmi sama ada secara lisan atau bukan lisan serta sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam Bahasa Melayu.

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Perkhidmatan), Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Mohd Tarmizi Saad.

Sumber Berita : Warta Kedah