ALOR SETAR (19 September 2024) – Kedah menyasarkan kutipan pingat 15 Emas, 17 Perak dan 16 Gangsa sempena kejohanan Para Sukma yang akan berlangsung di Negeri Sarawak pada 22 hingga 28 September nanti. Kontinjen Kedah akan mengambil bahagian dalam enam daripada sepuluh jenis sukan yang dipertandingkan iaitu Memanah, Olahraga, Badminton, Powerlifting, Renang dan Tenpin Bowling. Sasaran ini dilihat signifikan setelah melihat pencapaian para atlet menyertai Sirkit-Sirkit Kejohanan sepanjang tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia Dan Sukan Negeri, Muhammad Radhi Mat Din berkata sebagai satu kontinjen dengan kekuatan seramai 73 orang atlet dan 36 orang pegawai, saya amat mengharapkan agar jati diri dan semangat cintakan Negeri Kedah perlu ada dalam diri semua yang terlibat terutamanya para atlet. Dengan adanya nilai-nilai tersebut, saya berharap semua pasukan akan terus berjuang hingga ke akhirnya.
“Sesungguhnya majlis pada pagi ini dilaksanakan bertujuan bagi membuka minda dan kesedaran terhadap sukan-sukan yang akan berlangsung dalam tempoh yang terdekat. Majlis penyerahan bendera ini juga menjadi satu simbolik kepada amanah dan harapan Kerajaan Negeri kepada kontingen negeri Kedah untuk menggalas tanggungjawab di bumi Kenyalang.
“Semoga majlis ini juga menjadi motivasi dan suntikan semangat penting kepada semua atlit dan pegawai yang akan berlepas ke Sarawak berdasarkan jadual pertandingan yang telah ditetapkan. Saya dimaklumkan semua atlet dan pegawai akan bertolak pada malam ini bagi menghadapi temasya kali ini.
“Sukan PARA SUKMA adalah pentas untuk kita melahirkan atlit-atlit hebat yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Saya harap dengan membawa semangat The Greater Kedah, lebih ramai atlet hebat dapat kita lahirkan. Namun semangat The Greater Kedah ini perlu disambut oleh keluarga sukan sebagai pemangkin untuk terus mencapai kecemerlangan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Kedah sempena Temasya Para Sukma ke-21 Sarawak di Hotel Seri Malaysia di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Pembangunan Negeri Kedah, Zaiton Yahya; Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Kedah, Noor Azma Deris; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar dan Presiden Persatuan Sukan Dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Kedah, Siti Norbaya Romli.
Dalam perkembangan sama, Radhi berkata seramai 73 orang atlet dan 36 orang pegawai telah diberikan amanah dan tanggungjawab ke temasya Para Sukma kali ini bagi merealisasikan impian seluruh rakyat Kedah tercapai.
“Sebagai satu kontinjen saya amat mengharapkan agar jati diri dan semangat cintakan Negeri Kedah perlu ada dalam diri semua yang terlibat terutamanya para atlet. Dengan adanya nilai-nilai tersebut, saya berharap semua pasukan akan terus berjuang hingga ke akhirnya.
“Saya berharap agar anda berjuang dengan sepenuh jiwa dan raga membawa nama Negeri Kedah di persada kejayaan. Pastikan lagu keramat negeri yang kita sayangi ini bergema di setiap venue sukan nanti. Kita nak jadi Kedah yang hebat. Jadi kita kena jadi nombor satu dalam semua bidang,” ujarnya.
Sumber Berita : Warta Kedah
Sumber Foto : UPDA