MPKK ANJUR KONVOI SERAHAN JALUR GEMILANG SEMPENA BULAN KEMERDEKAAN KE-67

KULIM (27 Ogos 2024) – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah menganjurkan Konvoi Serahan Jalur Gemilang dan Serahan Buku Surah Yasin kepada Zon-Zon Ahli Majlis sempena menyambut dan menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-67.

Pelepasan peserta konvoi telah disempurnakan oleh Yang Dipertua MPKK, Dato’ Elmi Yusoff diperkarangan pejabat MPKK dengan jarak keseluruhan konvoi serahan Jalur Gemilang sejauh 67 kilometer yang merupakan simbolik kepada sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Negara yang ke-67 pada tahun ini.

Dato’ Elmi dalam ucapan perasmiannya berkata semua pihak seharusnya memelihara keamanan dan kemerdekaan negara khususnya berkaitan dengan perpaduan memandangkan Malaysia mempunyai kepelbagaian kaum dan bangsa.

“Setiap kaum mempunyai peranan yang penting dalam negara ini yang sememangnya unik serta hidup aman dan damai. Maka dengan masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama inilah kita harus mempertahankan perpaduan dan keharmonian demi keamanan negara.

“Saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada agensi dan rakan strategik yang terlibat dalam menjayakan program ini khususnya pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim dan anggota polis trafik yang terlibat dalam mengemudi pergerakan dan mengawal keselamatan para peserta konvoi sepanjang laluan,” katanya.

Di samping itu, pihak Pejabat Penerangan Daerah Kulim dan Pejabat Perpaduan Daerah Kulim turut bekerjasama dengan peserta konvoi daripada Ahli Kulim Bikers Club, Kulim Municipal Motorcycle Club (KMMC), wakil-wakil komuniti, rakan media serta anggota MPKK bagi menjayakan program ini.

Pihak MPKK turut hadir bersama-sama menyertai peserta konvoi bermotor seramai 200 orang keseluruhan melalui enam laluan ‘Check Point’ yang meliputi kawasan zon-zon Ahli Majlis iaitu di Masjid Air Merah, Stadium Kulim, Stesen Minyak Petronas, Kulim Square, MBI Desaku, Dewan Mahsuri Padang Serai dan berakhir di Dewan Bandaran, Kulim.

Sumber Berita : Warta Kedah
Sumber Gambar : Majlis Perbandaran Kulim