KEDAH LANCAR TAHUN MELAWAT KEDAH 2025

tmk 2025

KUALA LUMPUR (09 Ogos 2024) – Negeri Kedah adalah sebuah negeri yang dianugerahkan dengan pelbagai bentuk kekayaan daripada alam semulajadi, kegemilangan sejarah silam, budaya hidup masyarakat yang unik mampu memberi kenangan indah buat pelancong yang memilih Kedah sebagai destinasi percutian.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata Negeri Kedah memiliki potensi yang luar biasa dalam pembangunan pelancongan serantau dimana ramai yang tidak menyedari bahawa dalam laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Negeri Kedah berada dalam senarai ‘Top 5’ dari segi jumlah kehadiran pelancong bagi tahun 2023 dengan kehadiran 6.45 juta pelancong.

“Kerajaan Negeri Kedah bersama Kedah Tourism telah menetapkan 5 komponen utama yang akan diberi penekanan iaitu sumber alam semulajadi, gastronomi, seni, budaya dan sejarah.

“Tema kempen ‘Experience Kedah’ adalah ajakan atau pelawaan oleh orang Kedah yang sinonim dengan ‘keloi ajak mai’ buat pelancong untuk datang dan merasai sendiri pengalaman Kedah yang sebenar yang tidak akan dapat dinikmati di tempat lain.

“Kerajaan Negeri Kedah mengambil inisiatif dalam usaha membawa pelancong ke Tanah Besar Kedah melalui pelbagai pakej yang menarik di samping kempen yang berlangsung dan bakal dirancang dengan mempromosikan Tanah Besar Kedah yang kaya dengan pelbagai produk dan sumberjaya pelancongannya.

“Terbaru, Pulau Langkawi telah diiktiraf sebagai Pulau Pelancongan Ke-9 Terbaik Dunia oleh sebuah majalah antarabangsa Travel & Leisure dan ini membuktikan bahawa Pulau Langkawi merupakan lokasi pelancongan yang sempurna buat pelancong yang ingin menikmati keindahan pulau dan pantainya, di samping merasai keseronokan dan aktiviti yang mencabar.

“Selain tu, sektor pertanian juga mempunyai kelebihan tersendiri dimana sektor ini mampu membawa pelancong menikmati keindahan bendang yang luas terbentang dan budaya hidup keluarga petani dan menikmati air tangan penduduk kampung di bawah tema pelancongan agro. Pelancong juga dapat melihat kelincahan anak-anak petani meniti batas bendang, bergelumang dengan ‘keleboq’ serta melihat keindahan padi yang menguning. Semua ini ada nilainya yang tersendiri.

“Negeri Kedah adalah sebuah negeri yang kaya dengan sejarah dan kebudayaan yang mempunyai banyak tapak bersejarah yang boleh dijadikan destinasi pelancongan, di antaranya Lembah Bujang dan Sungai Batu yang merupakan tapak arkeologi tertua di Malaysia dan Asia Tenggara yang berusia ribuan tahun.

“Seni Warisan Mek Mulong yang mendapat pengiktirafan daripada UNESCO adalah warisan budaya yang sangat berharga bagi negeri Kedah dan masyarakat Melayu bukan sahaja memperlihatkan keindahan dan keunikan seni persembahan tradisional tetapi juga mengandungi nilai-nilai sejarah dan budaya yang penting.

“Turut diketengahkan keenakan makanan tradisi seperti Gulai Ikan Temenung, Laksa Teluk Kechai, Pulut Sambal, Pulut Inti, Gedung Chak, Bunga Pudak, Lepat Bunga Chicha dan Pek Nga dimana antara hidangan yang wajib dicuba oleh setiap pelancong yang datang ke negeri Kedah. Harga makanan yang murah dan berpatutan, Kedah akan menjadi destinasi utama atau syurga makanan bagi penggemar makanan dan mereka yang suka meneroka makanan (food hunting) di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sempena Majlis Pelancaran Tahun Melawat Kedah 2025 di Menara Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Dato’ Mohd Salleh Saidin; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya (MOTAC), Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Salleh dalam ucapannya berkata usaha memperkasakan sektor pelancongan Kedah perlu dijalankan secara menyeluruh dengan memberi fokus khusus kepada usaha merancakkan pelancongan di Tanah Besar Kedah di samping meneruskan usaha mengangkat Pulau Langkawi yang sedia tersohor itu ke mercu yang lebih gemilang.

“Tahun Melawat Kedah 2025 memilih ‘Experience Kedah’ sebagai tema kempen kerana ia seiring dengan hasrat untuk memberikan pengalaman ‘once in a lifetime’ kepada setiap pelawat dan pelancong yang bukan hanya untuk melihat tetapi juga untuk meneroka, merasa dan menikmati kelebihan dan keunikan yang ditawarkan di negeri Kedah,” ujarnya.

Sumber Berita : Warta Kedah