TERAPKAN KONSEP SUKAN SATU IBADAH BERLANDAS SYARIAT ISLAM

ALOR SETAR (22 JULAI 2024) – Konsep ‘Sukan Satu Ibadah’ perlu diterapkan dalam diri setiap orang agar dapat mendidik masyarakat khususnya orang Islam bahawa penglibatan dalam beriadah dan bersukan masih ada kaitan dengan Pencipta kita yakni Allah S.W.T.

Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan Dan Kos Sara Hidup, Belia Dan Sukan Negeri, Muhammad Radhi Mat Din berkata “Sukan Satu lbadah” memberi maksud bahawa sukan sama ada secara formal atau tidak formal dihayati dalam konteks sebagai ibadah oleh seluruh rakyat negeri Kedah terutamanya dikalangan umat Islam. la memberi maksud bahawa setiap aktiviti sukan yang dilaksanakan haruslah berlandaskan syariat dan sesuai dijadikan sebagai gaya hidup seorang mukmin sejati.

“Saya berharap supaya tidak lagi wujud dalam pemikiran kita bahawa terdapat jurang antara sukan dan agama. Keterlibatan wakil-wakil persatuan di dalam setiap perbincangan adalah bagi mendapatkan maklumat secara in-direct bagi cadangan pelaksanaan ini disamping ia dapat memberi pencerahan terutamanya kepada persatuan-persatuan yang diterajui oleh non-muslim.

“Definisi Sukan secara amnya, sukan melibatkan aktiviti fizikal yang melibatkan kemahiran dan tekanan serta kecergasan fizikal dimana seseorang individu atau kumpulan bersaing dengan pasukan lawan. Namun, dengan istilah baru sukan boleh dirangkumkan kepada pertandingan atau rekreasi. Dalam konteks ini individu itu tidak semestinya bersaing dengan individu lain tetapi bersaing dengan kebolehan sendiri dan menambahbaik kemahiran sendiri.

“Apa yang ingin dimaklumkan bahawa persatuan sukan dan masyakarat di luar sana mempunyai kehendak dan kemahuan ke arah islamik. Jadi tugas kita diperingkat kerajaan pada hari ini, perlu menyediakan satu garis panduan berpakaian dan menyediakan kemudahan bersukan yang sesuai.

“Justeru itu, adalah menjadi harapan saya agar pada hari ini kita dapat menyediakan satu resolusi bagi menjadikan sukan satu ibadah dapat dilaksanakan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya sempena Program Sidang Meja Bulat ‘Sukan Satu Ibadah’ Peringkat Negeri Kedah di Megaview Banquet Hall, Menara Alor Setar di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Mufti Negeri Kedah, Syeikh Mawarzi Dziyauddin; Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid; ADUN Bukit Lada, Salim Mahmood Al Hafiz; Pengerusi Yayasan Islam Negeri Kedah, Sheikh Mohamad Rodi Abd Rahman dan Ketua Felow Penyelidik Yayasan Kedah Sejahtera, Prof. Madya Dr Aminurrasyid Yatiban.

Dalam perkembangan sama, Radhi berkata objektif Sidang Media Bulat ini antaranya adalah menyediakan platform sumbang saran daripada para cendekiawan agama, ahli akademik, wakil persatuan terhadap cadangan penggubalan dasar ‘Sukan Satu Ibadah’ di negeri ini.

“Program ini akan menjadikan ruang sebagai titik mula kepada portfolio saya khususnya dalam mengatur gerak peranan yang lebih strategik dengan agenda yang disusun di peringkat negeri,” ujarnya.

Sumber : Warta Kedah