MPKP SENTIASA BERUSAHA MENINGKATKAN TAHAP KESEDARAN KEBERSIHAN PREMIS MAKANAN DI KUBANG PASU

KUBANG PASU (22 JULAI 2024) – Kempen Premis Makanan Bersih dan Selamat Daerah Kubang Pasu Tahun 2024 bertujuan memberi kesedaran tentang kepentingan penjagaan persekitaran di premis makanan dan peranan pengendali makanan dalam menjamin tahap kebersihan dan keselamatan makanan di premis makanan serta dapat meningkatkan tahap kebersihan dari tahap Gred ‘C’ kepada Gred ‘B’ atau ‘A’.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP), Badrulhisham Sulaiman berkata MPKP telah dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan tahap kebersihan awam dan persekitaran termasuklah kebersihan di premis makanan. Premis makanan yang bersih seperti restoran, restoran makanan segera, kedai makan, kantin/kafeteria, kiosk, medan selera dan gerai makan akan menarik lebih ramai pelanggan.

“Objektif kempen ini adalah untuk memberi kesedaran mengenai tatacara pengurusan premis makanan berdasarkan syarat yang telah ditetapkan, mempertingkatkan/mengekalkan tahap kebersihan premis makanan, memperbaiki amalan yang tidak betul/berisiko oleh pengendali makanan semasa mengendali makanan, menyalurkan informasi kebersihan dan keselamatan makanan kepada pengusaha/pengendali makanan disamping memberi pendidikan kesihatan dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan.

“Melalui kempen ini MPKP menjalankan pemeriksaan dan penggredan premis makanan yang berdaftar dengan MPKP dengan merujuk Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bilangan 2 Tahun 2014 (Garis Panduan Sistem Penggredan Premis Makanan di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan). Data sehingga 30 Jun 2024 menunjukkan terdapat sebanyak 329 premis makanan yang berlesen dengan MPKP dan sebanyak 224 atau 68% dari premis makanan tersebut telah diperiksa.

Bilangan premis makanan yang mendapat gred ‘A’ adalah sebanyak 53 premis dan premis makanan yang mendapat gred ‘B’ adalah sebanyak 171 premis.

“Dalam pada itu, MPKP juga mewajibkan dan memantau penggunaan alat penapis sisa makanan (pepejal) dan minyak di premis makanan melalui pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan melaksanakan pengauditan dan penarafan bintang tandas di premis makanan selaras dengan hala tuju yang diilhamkan oleh YB Menteri KPKT berdasarkan Garis Panduan Pengurusan dan Penarafan Bintang Tandas Awam di Malaysia di bawah Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bilangan 2 Tahun 2024 yang telah berkuat kuasa pada 10 Jun 2024.

“Bermula tahun 2025, MPKP akan menguatkuasakan bagi permohonan lesen premis perniagaan makanan yang baharu, penilaian tahap kebersihan tandas di premis perlu mencapai tahap 4 Bintang dan ke atas sebagai pra-syarat kelulusan lesen. Bagi pembaharuan lesen perniagaan, pengusaha premis perlu menjalankan penilaian tahap kebersihan tandas di premis secara kendiri dan memastikan tandas mematuhi konsep Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) untuk permohonan pembaharuan lesen perniagaan.

“Akhir sekali MPKP akan melaksanakan pendidikan kesihatan dan penguatkuasaan undang-undang dengan memberi kesedaran kepada pengendali makanan/pengusaha premis makanan tentang aspek kebersihan dan keselamatan makanan yang perlu ditingkatkan. Poster atau risalah akan diedarkan kepada setiap premis yang dilawati. Premis yang diperiksa juga akan diberi nasihat dan notis penambahbaikan tahap kebersihan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Warta Kedah sempena Kempen Premis Makanan Bersih dan Selamat Daerah Kubang Pasu Tahun 2024 di Richiamo Coffee Changlun di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha MPKP, Faizal Azli Ghazali; Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MPKP, Mashitohk Ali; Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPKP, Wan Mohd Helmy Wan Daud dan Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan, Roslan Abdul.

Dalam perkembangan sama, Badrulhisham berkata kempen tersebut akan berlangsung sepanjang tahun ini dan akan berterusan di tahun-tahun seterusnya agar dapat mendidik dan memberi peluang kepada premis-premis makanan di Kubang Pasu untuk terus berusaha mencapai tahap kebersihan Gred A seperti kebanyakan premis makanan segera seperti Richiamo Coffee yang mempunyai SOP yang telah dititikberatkan dalam mengendalikan sesebuah premis makanan.
“Bersempena Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025), kempen ini secara tidak langsung dapat mempromosikan premis-premis makanan yang bersih kepada para pelancong yang berkunjung di negeri Kedah ini dengan penyediaan makanan serta tempat yang bersih dan selesa.
“Diharap kempen ini dapat meningkatkan lagi tahap kebersihan dan gred premis makanan disamping melindungi kesihatan orang awam dari penyakit bawaan makanan dan air. Ia juga dapat membantu dalam peningkatan ekonomi setempat dan mempromosikan lagi industri makanan dan pelancongan di daerah Kubang Pasu,” ujarnya.

Sumber : Warta Kedah