ALOR SETAR (21 JULAI 2024) – Kerajaan Negeri Kedah menyambut baik inisiatif yang diketengahkan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dalam penubuhan Pusat Penerangan Pelancongan Alor Setar (PPPAS) dimana ia merupakan langkah bijak dalam menyampaikan maklumat kepada para pelawat dan pelancong mengenai Bandaraya Alor Setar dan Negeri Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata selari dengan pengumuman oleh Menteri Besar Kedah pada tahun lalu dalam menjayakan ‘Tahun Melawat Kedah 2025’ (TMK 2025), kerjasama oleh pelbagai jabatan dan agensi amat diperlukan. Malah sokongan oleh para pemain industri pelancongan yang bertungkus lumus dalam membuat persiapan bagi memastikan TMK 2025 bukan sahaja berjaya, tetapi juga meletakkan penanda aras baharu dalam industri pelancongan di negeri ini.
“Atas tujuan yang sama, Kerajaan Negeri Kedah turut menubuhkan semula Kedah Tourism yang akan menjadi penggerak utama bagi menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara untuk merasai keunikan dan keindahan negeri Kedah dalam pelbagai aspek, termasuklah alam semulajadinya, budaya, makanan, serta hospitaliti masyarakat setempat sejajar dengan frasa ‘Experience Kedah’ yang menjadi tema TMK 2025.
“Kerajaan Negeri Kedah menghargai inisiatif MBAS dalam melaksanakan program “Mai Singgah Alor Setar 2024” dan akan disambung seterusnya pada tahun 2025 seiring dengan Tahun Melawat Kedah 2025. Sesungguhnya inisiatif itu amat bermakna dan memberi nilai tambah yang istimewa dalam usaha memastikan kejayaan TMK 2025 kelak.
“Saya menaruh keyakinan penuh bahawa Pusat Penerangan Pelancongan ini mampu memberi maklumat pelancongan yang lebih baik kepada para pelancong, sekali gus menyokong usaha-usaha promosi pelancongan yang sedang giat dijalankan kini.
“Ditambah pula dengan produk-produk pelancongan Alor Setar yang telah disediakan oleh MBAS seperti Fun Map, Jejak Warisan dan Buku Alor Setar. Semuanya amat membantu bagi merealisasikan hasrat kita untuk merancakkan industri pelancongan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian dan Pelancaran Pusat Penerangan Pelancongan Alor Setar di Dataran Medan Bandar, Alor Setar di sini, hari ini.
Hadir sama Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Mohd Yusri Md Daud; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd. Fauzi Mustaffa; Pengurus Besar Tourism Kedah, Azlizam Jaafar Sidik; Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri dan Setiausaha Majlis Bandaraya Alor Setar, Nasrankamil Noh.
Dalam perkembangan sama, Salleh turut menyeru kepada semua pihak agar memastikan aspek kebersihan dan keindahan sentiasa berada pada tahap terbaik serta menjadi agenda penting setiap Pihak Berkuasa Tempatan.
“Ia bukan sahaja sepanjang kempen TMK 2025 ini semata, malah diteruskan pada tahun-tahun kemudiannya. Sebaik-baiknya biarlah kebersihan dan keindahan bandar dan desa di negeri ini menjadi salah satu ‘produk’ yang boleh menggamit kehadiran pelancong.
“Usaha merancakkan sektor pelancongan di Bandaraya Alor Setar ini pastinya memerlukan komitmen dan kolaborasi antara pihak MBAS dan semua pihak. Untuk itu, Kerajaan Negeri meletakkan harapan yang tinggi kepada semua kakitangan barisan hadapan (frontliners) bagi memastikan setiap pelancong yang datang ke negeri Kedah amnya dan Bandaraya Alor Setar khususnya menerima layanan yang terbaik, penuh kemesraan, penuh kehalusan budi yang bukan sekadar akan meninggalkan kesan mendalam kepada para pelancong, tetapi juga menggalakkan mereka untuk kembali lagi pada masa akan datang,” ujarnya.
Sumber : Warta Kedah