LEBIH 3,200 PELUANG PEKERJAAN DALAM PELBAGAI SEKTOR SWASTA UNTUK RAKYAT KEDAH

SUNGAI PETANI (20 JULAI 2024) – Kerajaan Negeri Kedah melalui Portfolio Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India & Siam dan NGO Negeri Kedah dengan Kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) MYFUTUREJOBS, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) serta turut disokong oleh Jabatan, Agensi Kerajaan dan Syarikat Swasta menganjurkan Karnival Kerjaya Dan Hari TVET Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam Dan NGO Negeri, Wong Chia Zhen berkata Karnival Kerjaya dan Hari TVET Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024 ini merupakan penganjuran Karnival Kerjaya yang terbesar yang pernah diadakan di Sungai Petani.

“Pada hari ini kita membawa kepada anda semua sejumlah 24 Majikan yang akan menjalankan proses temuduga di sini dengan menawarkan lebih 3,200 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor industri kepada penduduk di Sungai Petani dan rakyat di Negeri Kedah. Antara majikan yang menyertai Karnival Kerjaya pada hari ini adalah AT&S Austria Technologie & SystemTechnik (Malaysia), 99 Speedmart, FUJI Electric, Aurelius Hospital Alor Setar, The Coffee Bean & Tea Leaf dan banyak lagi.

“Pada hari ini, kita juga turut menjemput Institusi-Institusi Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) untuk bersama menawarkan pelbagai peluang kepada golongan sasar untuk menceburi diri dalam bidang Kemahiran dengan mempromosikan dan memperkenalkan pelbagai program dan kursus yang ditawarkan oleh Jabatan dan Institusi TVET di seluruh Negeri Kedah kepada golongan sasaran terutamanya kepada pelajar lepasan SPM yang baru sahaja mendapat keputusan SPM pada bulan Mei yang lalu.

“Antara Institusi TVET yang turut serta pada hari ini ialah KISMEC, IKM, Kolej Komuniti, ADTEC Kulim, GIATMARA, Akademi Binaan Malaysia dan Kolej KEDA. Di samping itu, Institusi Pendidikan Tinggi di bawah Kerajaan Negeri Kedah iaitu Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (UNISHAMS) dan Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR) yang mana turut menawarkan peluang kepada anak-anak Kedah untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang yang diminati,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya sempena Karnival Kerjaya Dan Hari Tvet Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024 di Dewan Kenangan, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Dato’ Mohd Azam Abd Samat; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Kesihatan Negeri, Mej (B) Mansor Zakaria; Setiausaha Majlis Perbandaran Sungai Petani, Noorulhuda Mohammed Ali; Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuala Muda, Mohd Rinizan Razali; Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Kedah, Rak Roon A/K Tan Rat dan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Wan Azharidin Wan Ismail.

Dalam perkembangan sama, Wong turut berkata Karnival Kerjaya dan Hari TVET Peringkat Negeri Kedah yang dianjurkan ini merupakan usaha Kerajaan Negeri yang berterusan dalam memastikan pencari kerja dan pelajar lepasan SPM mendapat peluang pekerjaan dan peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Kemahiran yang diminati.

“Dengan situasi masa kini, kerjasama antara sektor Kerajaan, sektor swasta, pemain industri dan institusi pendidikan adalah kunci utama untuk mencapai matlamat kita dalam mengembangkan sumber manusia yang berkualiti khususnya di Negeri Kedah. Segenap daripada kita semua perlukan kesatuan dalam tindakan demi menangani isu kebolehpasaran dan pengangguran ini.

“Saya juga berharap agar semua yang hadir pada hari ini terutamanya pencari kerja, graduan dan juga pelajar lepasan SPM untuk mengambil peluang mengisi kekosongan jawatan dalam pelbagai sektor yang ditawarkan. Dan kepada anak-anak kedah lepasan SPM yang kurang cemerlang akademik, janganlah berputus asa sebaliknya anda semua boleh memilih bidang kemahiran diminati yang turut banyak menawarkan peluang pekerjaan malah pendapatan juga lumayan.

“Penganjuran Karnival Kerjaya dan Hari TVET ini diharapkan dapat mencapai objektifnya dengan membuka peluang kepada pemain-pemain industri dan syarikat swasta untuk bertemu dengan masyarakat serta menyampaikan maklumat mengenai keperluan syarikat dan peluang pasaran kerja yang ditawarkan sekaligus memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat di negeri ini dan menyumbang kepada perkembangan sektor industri serta pengukuhan sosio-ekonomi negeri Kedah,” ujarnya.

Sumber : Warta Kedah