ALOR SETAR (20 JULAI 2024) – Hari Kebajikan Haiwan disambut setiap tahun bagi mendidik masyarakat mengenai pentingnya kasih sayang dan ihsan terhadap haiwan serta memupuk kesedaran awam menjadi pemilik haiwan yang bertanggungjawab.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Negeri, Dzowahir Ab Ghani berkata pada pandangan masyarakat umum, kebajikan haiwan adalah hanya melibatkan kesayangan sahaja seperti kucing dan anjing. Oleh sebab itu, persepsi ini perlu dibetulkan dengan kerana kebajikan haiwan dalam ternakan juga adalah sama penting seperti menjaga kebajikan haiwan kesayangan ini.
“Memartabatkan kebajikan haiwan adalah tanggungjawab setiap individu. Adalah menjadi kewajipan manusia untuk memberi perlindungan, penjagaan yang baik, sentiasa ada belas kasihan dan memastikan makan minum yang cukup kepada haiwan, menghindar dari kezaliman, melindungi dari kecederaan dan menyediakan tempat tinggal yang sesuai.
“Dalam hal ini, penternak juga tidak terkecuali perlu untuk mengamalkan pengurusan yang baik dengan menerapkan nilai-nilai insani kebajikan haiwan dalam pengurusan ternakannya serta perlu membudayakan nilai-nilai ini dalam masyarakat.
“Bagi memastikan semua penternak mendapat informasi yang jelas, beberapa siri pertemuan dengan penternak, pembekal ternakan, NGO serta semua pemegang taruh dalam bidang penternakan diadakan bagi memberi maklumat yang jelas mengenai usaha-usaha yang dilakukan dalam menangani isu-isu dalam pengurusan ternakan dan bekalan ternakan termasuklah isu-isu kebajikan yang sering dikaitkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Karnival Kebajikan Haiwan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah di Taman Jubli Emas di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Dr. Akma Ngah Hamid dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah, Dr. Shaharul Akmar Talib.
Dalam perkembangan sama, Dzowahir berkata hari ini saya sangat berbesar hati kerana dapat bersama-sama semua pihak khususnya dalam sesi dialog bagi mendapatkan gambaran yang lebih terperinci bagi isu dan permasalahan dihadapi pihak-pihak terlibat dalam bidang penternakan.
“Harapan saya, semoga karnival seperti ini dapat memberi gambaran yang jelas mengenai isu-isu, peraturan dan garis panduan terkini yang boleh dilaksanakan di ladang dan premis masing-masing seiring dengan kemajuan teknologi.
“Dengan itu, saya berharap program ini yang berlangsung selama tiga hari mulai 18 Julai lepas sehingga 21 Julai 2024 ini dapat mendidik hadirin semua berkenaan kebajikan haiwan serta tanggungjawab semua pihak dalam memastikan haiwan-haiwan ini tidak dizalimi dan dapat hidup secara harmoni bersama-sama kita di muka bumi ini.
“Selain itu, karnival ini juga dapat menarik minat anak-anak muda untuk menceburi bidang ternakan demi menjamin keterjamin makanan negara,” ujarnya.
Sumber : Warta Kedah