DURIAN AGRO TOURISM FEST MAMPU MENGANGKAT BANDAR BAHARU SEBAGAI PELANCONGAN AGRO SEMPENA TMK 2025

BANDAR BAHARU (14 JULAI 2024) – Bandar Baharu merupakan daerah yang kaya dengan tanaman durian terutamanya Durian Duri Hitam. Penganjuran Durian Agro Tourism Fest Bandar Baharu 2024 di Dataran Bandar Baharu yang berlangsung dari 11 hingga 14 Julai 2024 dilihat sebagai acara tahunan yang mampu mengangkat Bandar Baharu sebagai destinasi pelancongan agro.

Pegawai Daerah Bandar Baharu, Mohd Noor Ismail berkata penganjuran program ini akan dapat membantu mempromosikan dan memperlihatkan pelbagai jenis durian dan produk yang ada kepada para pengunjung pelbagai negeri yang hadir seterusnya memeriahkan program ini.

“Terdapat banyak ‘booth’ jualan dan pameran yang telah disediakan untuk orang ramai merangkumi agensi kerajaan serta swasta. Pelbagai aktiviti turut diadakan seperti sukaneka, kuiz, cabutan bertuah, pertandingan mewarna, pertandingan memasak berasaskan durian, pertandingan memancing udang galah, dan lain-lain aktiviti yang menarik sepanjang tempoh empat hari ini.

“Daerah Bandar Baharu juga terdapat pelbagai tempat pelancongan yang menarik yang boleh dikunjungi oleh semua pihak seperti Farmstay Relau yang mempunyai chalet ala rumah kampung tradisional serta tanaman dusun yang luas. Durian Agro Tourism Fest 2024 ini juga diharap dapat merancakkan industri pelancongan sempena Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025).

“Program Durian Agro Tourism Fest kali ini merupakan kali kedua diadakan di Daerah Bandar Baharu yang mana kali pertama telah diadakan pada tahun 2019. Jika dilihat dari segi tarikannya, patik juga percaya program ini boleh diperkembangkan lagi supaya menarik lebih ramai pengunjung dan penggemar tegar durian dari luar negeri dan juga menjadi tarikan pelancongan khasnya di daerah Bandar Baharu dan seterusnya kepada Negeri Kedah yang sedikit sebanyak dapat memajukan lagi Daerah Bandar Baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Durian Agro Tourism Fest Bandar Baharu 2024 di Dataran Bandar Baharu di sini, hari ini.

Berangkat hadir sama Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu, Ts. Dr. Mohd Suffian Yusoff dan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Roslan Hashim.

Dalam perkembangan sama, Mohd Noor berkata umum telah mengetahui bahawa daerah Bandar Baharu mempunyai banyak dusun buah-buahan terutamanya durian berkualiti tinggi yang tertumpu di kawasan Bukit Limau, Bagan Samak, Air Puteh, Serdang, Sungai Kechil Hilir dan Relau.

“Keluasan keseluruhan tanaman merangkumi 524.51 hektar manakala keluasan hasil yang telah diperolehi sekitar 458.22 hektar. Terdapat beberapa jenis durian utama yang ditanam di Bandar Baharu iaitu durian Duri Hitam, Musang King, D24 dan Udang Merah.

“Anggaran harga pasaran semasa bagi durian Duri Hitam RM65, Musang King RM55, D24 RM32 dan Udang Merah RM38 dan bagi pasaran eksport mencapai anggaran ratusan ringgit per kilo dengan pasaran utamanya ke Negara China,” ujarnya.

Dalam pada itu, Raja Muda Kedah turut mencemar duli menyempurnakan Gimik Perasmian Penutup Durian Agro Tourism Fest Bandar Baharu 2024 yang berlangsung selama empat hari ini.

Sumber : Warta Kedah