KMT 2024 PIALA YDP MPKP TARIK PESERTA SELURUH NEGARA

JITRA (06 JULAI 2024) – Seramai 103 pemanah telah menyertai Kejohanan Memanah Tradisional 2024 (KMT 2024)anjuran Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) bertempat di Mini Stadium MPKP di sini, hari ini.

Acara memanah yang julung-julung kalinya diadakan ini turut disertai oleh peserta dari pelbagai peringkat umur termasuk lelaki dan wanita dalam Negeri Kedah dan negeri-negeri seluruh Malaysia.

Yang Dipertua MPKP, Badrulhisham Sulaiman berkata program seumpama ini sangat signifikan dalam menghormati warisan nenek moyang kita. Kejohanan memanah ini bukan hanya satu acara sukan, tetapi ia merangkumi nilai-nilai tradisi yang telah diwarisi dari generasi ke generasi.

“Memanah telah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat kita melambangkan kecekapan, keazaman dan ketepatan dalam setiap gerakan. Acara seperti ini bukan sahaja memperkukuhkan kecintaan kita kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, tetapi juga memupuk semangat persaudaraan di antara kita semua.

“Semoga kejohanan ini dapat memperkukuhkan lagi hubungan silaturrahim di antara pemanah-pemanah daripada Kubang Pasu khususnya dan amnya kepada pemanah-pemanah seluruh Malaysia yang hadir ke Kejohanan Memanah pada hari ini. Saya juga difahamkan daripada kelab-kelab yang ternama daripada seluruh Malaysia dan nama-nama besar dalam sukan memanah ini turut hadir bersama-sama menyertai kejohanan kali ini. Diharapkan pencapaian-pencapaian yang diraih dalam pertandingan ini menjadi saat yang bersejarah bagi para peserta.

“Saya yakin, kejayaan penganjuran Kejohanan Memanah Tradisional Piala Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kubang Pasu ini akan memberi kesan yang positif kepada pembangunan sukan negara dan akhirnya membentuk masyarakat yang sihat dan aktif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Warta Kedah selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang Kejohanan Memanah Tradisional 2024 bagi merebut Piala Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kubang Pasu di Mini Stadium MPKP di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Persatuan Memanah Tradisional Malaysia, Zainurin Osman; Pengarah Kejohanan, Zainal Abidin Muhamad dan Pengerusi Kelab Memanah Tradisional Malaysia, Khairodzi Jamaludin.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Badrulhisham amat berharap pada tahun hadapan penganjuran kejohanan seperti ini akan terus diadakan dan dijadikan acara tahunan serta dibuka kepada peserta-peserta luar negara memandangkan pada tahun hadapan merupakan Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025).

“Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat atas usaha gigih serta komitmen yang tinggi dalam menjayakan Kejohanan Memanah Tradisional ini. Seterusnya, setinggi-tinggi penghargaan kepada semua hadirin, para peserta, serta penyokong yang hadir menyokong Kejohanan Memanah Tradisional ini. Usaha dan dedikasi anda semua adalah penyeri kepada kejayaan hari ini.

“Oleh itu saya amat berharap di tahun hadapan, MPKP dapat menjemput peserta dari luar negara untuk sama-sama menyertainya kerana ianya boleh dijadikan sebagai tarikan pelancong sempena TMK 2025,” ujarnya.

Sumber : Warta Kedah