TEKNOLOGI DIGITAL LEBIH MEMUDAHKAN BUDAYA MEMBACA DIKALANGAN MASYARAKAT

BALING (23 APRIL 2024) – Dunia zaman ini tidak dapat lari dari perubahan dan setiap perubahan zaman itu beriringan dengan kemajuan, termasuk teknologi dan informasi. Perubahan baik ini membawa bahayanya tersendiri jika tidak diimbangi dengan kecukupan ilmu kerana hanya dengan ilmu yang benar sahaja kita dapat menyaring elemen-elemen yang datang bersama perubahan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata buku bukan benda baharu. Lama sebelum Guttenberg menghasilkan mesin cetak, malah lama sebelum terhasilnya kertas, buku telah muncul dalam pelbagai bentuk. Daripada kepingan tanah liat semasa tamadun Sumeria kepada helaian papirus di Mesir dan seterusnya bilah-bilah buluh yang diikat di China, usaha membukukan tulisan berjalan tanpa henti sehinggalah akhirnya penerbitan buku berkembang menjadi salah satu industri utama di dunia ini.

“Dalam tempoh ribuan tahun itu buku berada pada kelasnya yang tersendiri. Ia sumber ilmu, ia jambatan kepandaian, ia simbol kecendekiawanan. Orang yang suka dan rajin membaca pula dihormati, dimuliakan dan dipandang tinggi. Aura buku begitu luar biasa sehinggakan sesiapa sahaja yang memegangnya, apatah lagi bergambar dengan rak yang dipenuhi buku di belakangnya, secara spontan akan dianggap bijak pandai.

“Walau bagaimanapun konsep nilai itu mula berubah pada dekad-dekad kebelakangan ini dan budaya membaca juga berubah. Kedudukan buku sebagai sumber ilmu terunggul secara drastik terpaksa dikongsi, kalaupun tidak diambil alih oleh kemajuan teknologi. Jika dahulu untuk mencari maklumat orang mencari buku, sekarang orang mencari internet. Wajah dan bentuk buku juga mula terbahagi, sebahagiannya kekal sebagai naskhah-naskhah fizikal manakala sebahagian lagi dalam bentuk elektronik dan digital.

“Namun buku tetap buku, tidak kira bagaimana format dan rupanya. Sementara buku-buku fizikal memberi nikmati tersendiri kepada penggemarnya, buku-buku elektronik dan digital juga menawarkan seribu satu kelebihan, antaranya ia lebih mudah diakses dan boleh dibaca hampir di mana sahaja dan pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Program Jalinan Ilmu dan Jom Baca Bersama 10 Minit bersempena Hari Buku dan Hakcipta Sedunia 2024, dan Sembang Sejarah @ Muzium Kedah Rundingan Baling 1955 – Where The Eyes Met di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, Baling di sini, hari ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Baling, Dato’ Abdul Gafar Yahya; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Shahizan Affandi Zakaria dan Sasterawan Negara Ke-13, Dato’ Dr Zurinah Hassan.

Dalam perkembangan sama, Mohd Salleh berkata dilihat secara umum, menerbitkan buku digital kelihatannya lebih mudah dan lebih kecil kosnya berbanding buku fizikal tetapi di sebalik kelebihan itu, ia juga terdedah pada pelbagai unsur negatif yang perlu dibendung dan dikawal.

“Orang yang pernah terlibat dengan penerbitan buku bercetak tahu tentang bagaimana perlu berhati-hatinya mereka. Setiap sumber perlu diteliti, setiap ejaan perlu diamati, malah pemilihan fonts, reka letak, grafik, semuanya perlu diambil kira kerana selain kandungan, di situlah terletaknya kredibiliti penulis dan penerbit. Nilai-nilai kebertanggungjawaban, kerap kali diambil mudah, lebih-lebih lagi dengan adanya kemudahan melakukan ‘erase’ dan ‘delete’.

“Semua ini adalah cabaran yang sedang kita hadapi. Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk membetulkan keadaan ini. Dalam mengalu-alukan kemajuan, kita tidak boleh berkompromi dengan apa sahaja elemen yang boleh merosakkan nilai-nilai baik yang kita dukung sejak lama. Kita mahu melahirkan seramai mungkin rakyat yang minat membaca tetapi kita juga mahu mereka membaca naskhah yang betul, yang dilahirkan dengan niat yang betul, cara yang betul, persembahan yang betul dan nilai-nilai yang betul.

“Soal hakcipta juga harus sentiasa dititik beratkan kerana hakcipta, kredibiliti, dan kebebasan bersuara adalah aspek-aspek yang penting dalam menjaga integriti dunia penerbitan dan penulisan. Kesedaran mengenai perkara-perkara ini juga harus ditanam ke sanubari khalayak,” ujarnya.

Sumber : Warta Kedah