KEKALKAN PRESTASI DAN TINGKATKAN PRODUKTIVITI DALAM MEMANFAATKAN RAMADAN

FOTO WARTA KEDAH

ALOR SETAR (26 MAC 2024) – Semua penjawat awam di Negeri Kedah diseru untuk tidak mensiakan-siakan peluang yang diberikan di bulan yang penuh barokah ini untuk melipat gandakan pahala. Pelbagai cara boleh dilaksanakan untuk menghidupkan roh Ramadan agar kita kembali kepada fitrah yang suci, iaitu mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Di samping itu, jangan dilupakan untuk terus kekalkan prestasi dan tingkatkan produktiviti kerja di sepanjang bulan Ramadan ini. Hindarkan diri kita daripada melakukan aktiviti yang tidak berfaedah yang akan merugikan jabatan dan negeri.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata Ramadan melalui ibadah puasa sewajarnya memberi keinsafan yang mentarbiah dan mengajar kita erti kesederhanaan, berjimat cermat dan tidak membazir serta melahirkan rasa prihatin untuk membantu golongan-golongan yang memerlukan.

“Di peringkat individu, Ramadan menjentik rasa keinsafan untuk memperbaiki diri (islah) dengan memperbanyakkan amal ibadah dan menjana perubahan diri ke arah yang lebih baik dan menjadi insan yang bertakwa.

“Pada peringkat keluarga, Ramadan membuahkan rasa kebersamaan dalam melaksanakan pelbagai ibadah seperti sahur, iftar, solat berjemaah, tadarus dan qiamullail serta amalan-amalan yang lain bersama-sama. Ini dapat melahirkan rasa taqwa dalam keluarga.

“Dari sudut pandang masyarakat, Ramadan lazimnya membangkitkan rasa prihatin kepada golongan yang memerlukan seperti fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan orang kurang upaya. Ini dapat menyemarakkan pembangunan masyarakat melalui amalan seperti infak, sedekah dan wakaf.

“Pada peringkat kerajaan pula, Ramadan mendorong ke arah menyemarakkan lagi pelbagai aktiviti kerohanian, di samping menyuburkan sikap konsisten menyantuni rakyat melalui pelbagai inisiatif bantuan dan kemudahan. Malah kerajaan bukan sekadar membantu rakyat yang memerlukan tetapi membangunkan ekonomi, pendidikan, jaringan keselamatan, sosial agar rakyat negeri ini dapat hidup dengan selesa, sejahtera dan tidak terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya sempena Program Tanwir Ramadan 2024M/1445H, anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang; Ketua Hakim Syari’e Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Abdul Rahman Abdullah; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Syed Khairol Anuar Syed Abidin; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dr. Nadzman Mustaffa dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Merangkap Pengerusi Program Tanwir Ramadan 2024, Sunita Abdul Aziz.

Dalam perkembangan sama, Sanusi turut berharap dan menyeru kepada semua jabatan dan agensi negeri terutamanya Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Kedah supaya dapat bersama-sama mengaturkan aktiviti-aktiviti kerohanian di sepanjang bulan Ramadan di masjid-masjid, seluruh pelusuk daerah-daerah untuk mengimarahkan bulan yang penuh barokah ini.

“Perlu disedari, Ramadan hadir sebagai pemangkin untuk membangunkan jiwa dalam menghadapi keadaan serba tidak menentu ini. Ramadan juga memberi kita ruang dan peluang untuk berserah dan bergantung sepenuhya kepada Allah SWT. Perasaan inilah yang menimbulkan harapan untuk merubah keadaan kita sekarang dan harapan inilah yang diperlukan untuk meneruskan dan mencorak kelangsungan kehidupan.

“Ucapan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur Program Tanwir Ramadan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah kerana telah memberikan sumbangan, komitmen yang tinggi dalam menyatukan idea, menyempurnakan tugas dan tanggungjawab bagi memastikan program ini terlaksana dengan jayanya,” ujarnya.

Program Tanwir Ramadan anjuran Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah berlangsung selama tiga hari mulai hari ini 26 Mac hingga 28 Mac 2024 bertemakan “Ramadan Penghijrahan Kesucian Jiwa” dengan menampilkan tiga penceramah utama selama tiga hari iaitu Ustaz Elyas Ismail, Dato’ Ustaz Kazim Elias Al-Hafiz dan Ustazah Dr. Robiah Kulop Hamzah.

Sumber : Warta Kedah