ALOR SETAR (10 MAC 2024) – Kerajaan Negeri Kedah amat berharap supaya rakyat di negeri ini menggunakan sumber bekalan air secara berhemah dan tidak membazir sebagai salah satu usaha bagi memastikan sumber bekalan air sentiasa mencukupi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air Dan Alam Sekitar Negeri, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, rekabentuk kadar pebgeluaran air di 35 buah LRA di Kedah ialah sebanyak 1452 juta liter sehari tetapi kadar pengeluaran hari ini terpaksa ditambah sehingga 1600 juta liter sehari, bermakna kadar pengeluaran sudah melebihi kadar kemampuan sebenar.
Kadar penggunaan yang terlalu banyak seperti sedia maklum pada musim panas, cuti sekolah, bulan puasa dan bersambung pula dengan perayaan Aidilfitri dimana orang ramai akan balik ke kampung, semua ini akan menjadi sebab-sebab penggunaan air yang tinggi.
“Saya diminta oleh Menteri Besar untuk membuat kenyataan media berkenaan situasi semasa berkaitan bekalan air di Negeri Kedah serta memaklumkan semua paras air di empangan setakat ini masih terkawal dan stabil. Walau bagaimanapun baru-baru ini paras air Sungai Muda mengalami penyusutan air yang agak ketara sehingga menjejaskan operasi Loji Rawatan Air (LRA) di Bukit Selambau, Pinang Tunggal dan lain2 LRA sepanjang Sungai Muda.
“Setelah Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) memohon pelepasan air empangan Beris daripada PLSM sebanyak 10 meter kiub per saat, bekalan air berada dalam keadaan stabil dan diharapkan selepas ini pun akan bertambah baik. Kebanyakan kawasan hari ini masih panas dengan keadaan cuaca sekarang ini dan ketiadaan hujan sudah agak lama sehinggakan laporan yang baharu diterima, paras empangan di Bukit Malut, Pulau Langkawi yang menjadi tempat empangan air utama kita di sana memang agak kritikal.
“Terdapat beberapa tempat SADA dan penduduk sekitar telah melakukan solat sunat Istisqa memohon diturunkan hujan dan dalam mesyuarat sebentar tadi telah diputuskan akan mengadakan himpunan di tempat-tempat yang tidak menerima hujan untuk bermunajat kepada Allah SWT memohon diturunkan hujan. Kita berharap ini adalah sebagai salah satu usaha selain dari usaha yang telah dibuat oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) dengan menghantar lori-lori tangki, membina rumah pam dan sebagainya.
“Pada masa yang sama saya berharap kerjasama dari rakyat negeri ini supaya menggunakan air secara berhemah dan tidak membazir supaya kita dapat memanfaatkan penggunaan air sebaik-baiknya terutamanya mengurangkan penggunaan air untuk siraman pokok tumbuhan, membasuh kereta dan sebagainya.
“Kerajaan sedar dan faham terdapat beberapa kawasan berada di tempat yang tinggi dan ketiadaan air waktu siang dan malam tetapi pihak SADA akan menghantar air dengan lori. Terdapat 91 buah lori sedang beroperasi dan pada musim perayaan ini akan ditambah lagi supaya semua rakyat dapat bekalan air secukupnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media mewakili Menteri Besar Kedah selepas berakhirnya Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menjawab persoalan media mengenai pembenihan awan, Munir berkata setakat ini belum ada cadangan berbuat demikian memandangkan bekalan air masih mencukupi. Kita sedia maklum untuk membuat pembenihan awan ini kos pembinaannya agak tinggi serta tak semestinya berjaya berkemungkinan ianya dibawa angin ke tempat lain dan tidak turun hujan di tempat yang ditetapkan.
Beliau menambah kerja-kerja pembaikan paip dasar laut ke Langkawi dibuat dari masa ke semasa. Setiap kali pembaikan dibuat, kadar bekalan air bersih ke Langkawi dapat ditingkatkan antara 1 hingga 3 mld.
Sumber : Warta Kedah