ALOR SETAR (16 FEBRUARI 2024) – Tahun Baru Cina 2024 semestinya perayaan yang dinantikan oleh masyarakat Cina di Malaysia dan negeri Kedah secara amnya memandangkan perayaan tahun ini dirayakan pada Tahun Naga.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata saya diberitahu oleh kawan keturunan Tionghua, Naga memang istimewa dalam kebudayaan Cina. Naga dikaitkan dengan kemakmuran, kekuatan, kesihatan, harmoni dan tuah. Siapa yang lahir dalam tahun Naga dikatakan sangat ‘ong’. Jadi saya nak seru kepada semua orang Cina khususnya yang hadir dalam majlis kita pada malam ini pakat-pakatlah melahirkan anak pada tahun ini.
“Apabila saya diberikan tanggungjawab sebagai Menteri Besar, saya adalah pemimpin yang bertanggungjawab untuk semua orang Kedah. Saya bukan Menteri Besar untuk orang Melayu saja, bukan Menteri Besar untuk orang Islam saja dan bukan juga Menteri Besar untuk orang PAS saja. Menteri Besar Kedah adalah Menteri Besar untuk semua orang Kedah, tak kira yang sokong PN atau tak sokong PN semasa pilihan raya tetapi saya bertanggungjawab kepada semua kaum.
“Sebab itu, mula naik sebagai Menteri Besar pada Mei tahun 2020, saya isytiharkan Slogan “Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua” yang membawa maksud komitmen Kerajaan Negeri untuk berusaha membawa kesejahteraan kepada semua 2.2 juta rakyat Kedah tidak mengira kaum, agama atau latar belakang.
“Bagi saya, anggota Exco serta pegawai-pegawai kerajaan, semua rakyat Negeri Kedah mempunyai hak yang sama di sisi undang-undang dan Perlembagaan dan hak-hak ini akan sentiasa dihormati serta diraikan.
“Di Kedah, kita ada lebih kurang 276,000 penduduk keturunan Tionghua dan sebagaimana yang saya sebutkan tadi, Kerajaan Negeri yang saya pimpin akan bekerja keras untuk membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada Tuan-Tuan dan Puan-Puan serta semua rakyat Kedah yang lain.
“Kita tidak boleh memilih kaum atau warna kulit untuk kita dilahirkan dan kita hanya boleh pilih ialah agama atau kepercayaan. Saya sendiri ada darah keturunan Cina dari sebelah ayah saya. Ajaran Islam menegah diskriminasi warna kulit atau perkauman dan Islam juga tidak memaksa dalam beragama.
“Kita raikan semua masyarakat di Negeri Kedah ini mengikut hak masing-masing yang diiktiraf Perlembagaan memandangkan di Negeri Kedah sejak dahulu hingga sekarang hidup dalam suasana harmoni dan saling hormat menghormati. Jangan kita terpengaruh dengan mana-mana ekstremis yang sering menghasut untuk memecahkan perpaduan masyarakat demi kepentingan mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024 di Kg. Warisan Kebudayaan Pertubuhan Kebajikan San Sheng, Tanjung Bendahara di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India & Siam dan NGO Negeri, Wong Chia Zhen; Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Zubir Ahmad; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa dan Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Negeri Kedah, Datuk Cheng Lai Hock.
Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata semua orang tahu orang Cina suka berniaga dan apa yang penting bagi orang Cina ialah hidup kita aman damai dan boleh menjalankan perniagaan dengan baik.
“Pengurusan utama ekonomi negara, makro dan mikro adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Tetapi di peringkat negeri, kita tetap usahakan apa yang ada dalam bidang kuasa kita.
“Apa yang penting bagi saya ialah kemasukan pelaburan yang tinggi akan menyediakan peluang kerja yang banyak bagi anak-anak kita, dan juga orang dari negeri lain untuk berhijrah ke tempat kita. Dengan itu, pasaran akan menjadi lebih luas dan akan meningkatkan kuasa beli. Ini akan mewujudkan iklim yang baik untuk perniagaan sama ada besar atau kecil yang dijalankan oleh Tuan-Tuan dan Puan-Puan.
“Untuk itu, bagi tahun 2024, kita mengharapkan keadaan yang lebih baik, pelaburan lebih banyak masuk dan ekonomi akan berkembang dengan pesat supaya kita semua dapat hidup lebih senang, lebih kaya, makmur dan meriah,” ujarnya.
Sumber : Warta Kedah