SUNGAI KEDAH DAN SUNGAI ANAK BUKIT AKAN DIBANGUN SEBAGAI PRODUK PELANCONGAN IKONIK

FOTO WARTA KEDAH

ALOR SETAR (28 NOVEMBER 2023) – Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah beberapa kali mempromosikan Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit sebagai salah satu produk pelancongan ikonik yang terdapat di Negeri Kedah. Promosi yang dilaksanakan bukanlah bermula pada tahun 2020 sehingga tahun 2023 sahaja tetapi sebelum bermulanya Discover Kedah 2016 lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata Kerajaan Negeri amat serius dalam mengangkat Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit sebagai salah satu produk pelancongan ikonik yang terdapat di negeri ini.

“Antara langkah-langkah serta inisiatif yang telah diambil oleh kerajaan dalam mempromosikan kawasan tersebut adalah dengan mengadakan Program Explorasi Sungai Anak Bukit, Fun Race RC Power Boat, Program Kayuhan Basikal dan Program Gotong Royong di sepanjang sungai.

“Selain itu, beberapa inisiatif telah diambil antaranya ialah MBAS telah mewujudkan satu Master Plan Pembangunan Sungai Kedah untuk dijadikan panduan dan rujukan bagi memastikan pembangunan di kawsan tersebut dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawap pertanyaan lisan oleh ADUN Kota Darulaman, Teh Swee Leong dalam Persidangan Dewan Negeri Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Ke-15 (Mesyuarat Bajet) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

ADUN bertanya mengenai kedudukan Sungai Anak Bukit yang berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan yang utama di Bandaraya Alor Setar dan minta dinyatakan inisiatif-inisiatif yang telah diambil oleh kerajaan untuk membangunkan dan mempromosikan lokasi tersebut dari tahun 2020 hingga 2023 serta jumlah bajet yang diperuntukan untuk membangunkan sungai ini pada tahun berkenaan.

Dalam pada itu, Salleh turut menjelaskan bahawa pada tahun 2023 Kerajaan Negeri telah melantik satu syarikat untuk menjadi operator bot di kawasan tersebut dan sambutan yang diterima amat menggalakkan. Perkara ini juga turut dibantu oleh pihak JKR dan JPS bagi pencahayaan dan kebersihan sungai serta tembok di pinggir sungai tersebut.

“Justeru itu, beberapa aktiviti dan program dapat dilaksanakan di sepanjang sungai itu seperti memancing serta program Remote Control Boat yang berjaya menarik penyertaan daripada dalam dan luar negara. Ini menunjukan satu petanda positif berkaitan pembangunan Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit.

“Kerajaan juga bercadang untuk mengangkat permohonan Pembangunan Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit ke peringkat Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) di dalam Rolling Plan 5, RMKe-12.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan memberikan fokus utama Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit dalam eko pelancongan ini di sepanjang tahun 2024 di samping eko pelancongan di daerah-daerah lain sebelum menjelangnya Tahun Melawat Kedah 2025 akan datang,” ujarnya.

Sumber : Facebook – Warta Kedah