MOU YINK BERSAMA JABATAN MUFTI MEMUDAHKAN TAULIAH MENGAJAR AGAMA ISLAM DI NEGERI KEDAH

mou-yink
FOTO WARTA KEDAH

ALOR SETAR (06 NOVEMBER 2023) – Satu majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman Antara Yayasan Islam Kedah (YINK) Dan Jabatan Mufti Negeri Kedah telah berlangsung di Dewan Seminar , Bangunan Mahkamah Syariah, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Anak Bukit hari ini.

Tujuan MoU itu diadakan adalah sebagai satu langkah proaktif Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR) bagi menangani isu-isu yang berbangkit mengenai ketiadaan Tauliah Mengajar sekaligus menuruti Enakmen yang diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutif YINK, Sharifah Norulasyikhah Syed Mohamad berkata dengan adanya kolaborasi dari MoU ini, para pelajar yang menamatkan pengajian di IQDAR sekaligus akan mendapatkan tauliah mengajar supaya dapat memahami akan kehendak yang ingin dicapai dalam tujuan pengajaran. Selain itu, kerjasama ini juga menjadi nilai tambah kepada IQDAR dalam aspek membangunkan modal insan dan para pelajar yang mahir dalam bidang yang diperlukan.

“Pada hari ini Institut Al-Quran Darul Aman Yayasan Islam Negeri Kedah secara rasminya akan melebarkan lagi jaringan kerjasama dalam melaksanakan Peperiksaan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Kedah untuk anak-anak IQDAR.

“Untuk Makluman program pengajian yang ditawarkan di IQDAR ialah Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat untuk tempoh tiga tahun. Setelah selesai pengajian kebanyakan para pelajar terlibat dengan aktiviti mengajar di masjid dan sekolah-sekolah serta agensi-agensi kerajaan dan swasta di sekitar Negeri Kedah dan Wilayah Utara dalam bidang Al-Quran, Tajwid dan Fardhu Ain.

“Oleh demikian, pihak Institut Al-Quran Darul Aman mengikuti perkembangan semasa dan berpandangan bahawa sijil tauliah amat penting kepada para pelajar, bahkan perlu mengikut kepada peraturan semasa untuk mengajar iaitu mesti mendapatkan tauliah mengajar agama khususnya di Negeri Kedah. Para pelajar yang menamatkan pengajian di IQDAR sekaligus akan mendapatkan tauliah mengajar supaya dapat memahami akan kehendak yang ingin dicapai dalam tujuan pengajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman Antara Yayasan Islam Kedah (YINK) Dan Jabatan Mufti Negeri Kedah di Dewan Seminar, Bangunan Mahkamah Syariah, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Anak Bukit di sini, hari ini.

Hadir sama Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang; Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Sheikh Abd Rahman Abdullah; Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Dato’ Wira Sheikh Yahaya Jusoh dan Pengerusi Yayasan Islam Negeri Kedah, Sheikh Mohammad Rodi Abdul Rahman.

Dalam perkembangan yang sama, Sharifah berkata para pelajar yang menamatkan pengajian di IQDAR sekaligus akan mendapatkan tauliah mengajar supaya dapat memahami akan kehendak yang ingin dicapai dalam tujuan pengajaran.

“Selain itu, kerjasama ini juga menjadi nilai tambah kepada IQDAR dalam aspek membangunkan modal insan dan para pelajar yang mahir dalam bidang yang diperlukan. Ini menjadikan IQDAR sebuah Institusi sulung (Yang Pertama) menjalankan kerjasama strategik dengan Jabatan Mufti Negeri Kedah selaku pihak yang diberikan autoriti untuk mengeluarkan dan memberikan tauliah mengajar kepada seseorang yang ingin menyampaikan pengajaran agama di negeri Kedah.

“IQDAR juga yang merupakan Lokasi Tambahan Darul Quran yang pertama dari 10 Lokasi Tambahan Darul Quran seluruh Malaysia yang mengadakan kerjasama dalam tauliah mengajar ini. Faedah ini akan diperolehi oleh pelajar yang akan mengambil ujian Peperiksaan Tauliah mengajar pada tahun akhir pengajian mereka di IQDAR. Ini bagi memastikan kemampuan sebenar para pelajar yang ingin menceburi bidang pengajaran bagi melindungi kesahihan ilmu yang akan disampaikan mengikut bidang Al-Quran Tajwid & Fardhu Ain,” ujarnya.

Sementara itu, Mufti Kedah dalam ucapannya turut menyambut baik kerjasama ini bagi meneruskan usaha dan komitmen yang telah ditunjukkan oleh semua pihak yang terlibat.

“Saya berharap kita semua akan terus memperjuangkan usaha-usaha baik kerjasama strategik seperti ini, mudah-mudahan berkat Baginda Nabi Muhamamd SAW majlis ini akan menjadi medan utama saham diakhirat kelak dalam memberikan manfaat kepada para pelajar dan masyarakat khususnya di negeri Kedah.

“MoU seperti ini amat perlu diadakan kerana mengikut kepada ‘trend’ yang ada pada masa kini di mana-mana negeri dimestikan para pengajar agama mendapatkan tauliah mengajar dari pihak berkuasa agama di negeri masing-masing supaya ianya dapat dikawal dan tidak menyimpang dari pengajaran mereka.

“Adalah menjadi harapan saya agar pelaksanaan MoU ini dapat menjadi nilai tarikan bagi pelajar lepasan SPM di luar sana untuk menyambung pengajian di Institut Al-Quran Darul Aman dan meningkatkan kualiti pembelajaran selari dengan kehendak Kerajaan Negeri Kedah,” katanya.

Sumber : Facebook – Warta Kedah