ALOR SETAR (25 SEPTEMBER 2023): Yang Dipertua Pas Langkawi, Zubir Ahmad dipilih sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang Ke-15 pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Ke-15 yang diadakan di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mencadangkan Zubir, 60, sebagai Speaker DUN Kedah yang disokong oleh ADUN Merbau Pulas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan Negeri Kedah, Dato’ Ashah Ghazali.
Setiausaha Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Mohamad Azlee Ahmad memaklumkan disebabkan hanya seorang calon Speaker dikemukakan dan bagi mematuhi Peraturan 4 (5) Peraturan-peraturan Mesyuarat DUN Kedah, maka Zubir diisytiharkan menjadi Speaker DUN Kedah Ke-15.
Dalam perkembangan sama, ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis dilantik sebagai Timbalan Speaker selepas namanya dicadangkan oleh Menteri Besar Kedah dan disokong oleh ADUN Kuala Ketil, Mej (B) Mansor Zakaria merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah.
Sumber : Facebook – Warta Kedah