Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bercemar duli ke Istiadat Perbarisan dan Meletak Kalungan Bunga sempena Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Kedah Tahun 2023 di Tugu Peringatan, Jalan Tunku Bendahara di sini, hari ini.
Berangkat hadir sama Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin; Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin; Tunku Bendahara Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah; Tunku Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam Negeri, Dr. Robert Ling Kui Ee mewakili Menteri Besar Kedah; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali, Panglima Briged Ke-6, Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Saipol Anuar Jaafar dan Ketua Polis Negeri Kedah, CP Dato’ Fisol Salleh.
Istiadat Perbarisan dan Meletak Kalungan Bunga sempena Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Kedah Tahun 2023 dimulakan apabila Baginda perkenan menerima Sembah Hormat Diraja dan mencemar duli memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada tiga Pegawai dan 103 Anggota Lain-lain Pangkat dari Batalion Ke-2, Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) yang diketuai oleh Mejar Mazlan Daud.
Sementara itu, Pancaragam Pengiring adalah dari Pancaragam Kolej Tentera Udara (TUDM) Kepala Batas dipimpin oleh Pegawai Waran Udara, Mohd Saad Abdullah.
Majlis yang berlangsung pagi tadi diteruskan dengan tiupan ‘Last Post’ dan pembacaan sajak bertajuk ‘Pahlawan’ oleh Koperal Mohd Sani Abdul Malik dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Kedah.
Baginda kemudiannya mencemar duli bagi meneruskan upacara meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan bersempena Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Kedah. Turut diberikan kehormatan meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan adalah Raja Muda Kedah dan Tunku Mahkota Kedah.
Selesai istiadat Meletak Kalungan Bunga, Baginda sekali lagi perkenan menerima Sembah Hormat Diraja dari Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sebelum berangkat pulang meninggalkan majlis.
Sumber : Facebook – Warta Kedah