YAN (24 Julai 2023): Kerajaan Negeri Kedah amat berharap penduduk di negeri ini akan menghargai pemberian geran tanah dan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) yang telah diuasahakan oleh Kerajaan Negeri. Ini adalah kerana kelulusan tanah yang diusahakan ini bukannya mudah dan boleh didapati sewenang-wenangnya oleh sesiapa sahaja selain dengan perhatian yang serius oleh Pejabat Tanah dan Kerajaan Negeri.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata pemilikan geran tanah cukup penting dalam kehidupan semua orang sekurang-kurangnya untuk mendirikan rumah. Tanah juga menjadi taraf sosial seseorang itu mempunyai status kewangan yang banyak atau sebaliknya.
“Jika mempunyai sedikit wang, rumah sewa mungkin menjadi pilihan
terbaik tetapi yang kurang berkemampuan terpaksalah duduk menumpang mendirika pondok di tanah orang. Terdapat juga rakyat yang terpaksa menumpang di tanah rizab Kerajaan. Oleh itu, memiliki tanah sememangnya penting dalam hidup kita, tidak mengira siapa pun kita.
“Justeru, apabila Kerajaan Negeri meluluskan tanah ini kepada Tuan-Tuan dan Puan-Puan, sama ada geran hak milik ataupun LPS seharusnya dihargai dengan sebaik mungkin dengan mengusahakan tanah ini untuk menjadi manfaat kepada diri dan keluarga.
“Pemberian tanah ini janganlah dijual memandangkan kesusahan datuk, nenek kita atau mak ayah kita terdahulu yang telah meneroka tanah tersebut seharusnya manfaatkanlah dengan apa-apa usaha yang membolehkan pahala mengalir terus kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Majlis Penyampaian Geran Dan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) Bagi Daerah Yan di Dewan Masjid Al-Wustha, Pekan Guar Chempedak di sini, hari ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit; Pegawai Daerah Yan, Mohamad Subhi Abdullah; Timbalan Pengarah Tanah dan Galian (Pembangunan), Amirah Khairiah Abdul Latip dan Pegawai Agama Daerah Yan, Syeikh Alwi Othman.
Dalam perkembangan yang sama, Sanusi berkata proses meluluskan permohonan tanah bukannya mudah dan ia sememangnya memakan masa yang lama. disebabkan terdapat banyak perkara yang perlu diteliti dari aspek dokumentasi, surat menyurat dan juga pegawai tanah perlu turun ke lapangan untuk siasat serta semak berbagai-bagai perkara.
“Semua urusan ini perlu dibuat dengan cermat tanpa ada kesilapan. Ini kerana pernah berlaku terdapat tuntutan bertindih seperti tanah yang sama tetapi mempunyai dua geran. Saya sendiri pernah terbeli tanah yang mempunyai masalah sebegini dan sudah lebih 20 tahun belum selesai lagi.
“Inilah antara usaha yang boleh dibuat oleh Kerajaan Negeri hari ini untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat Negeri Kedah di bawah dasar “Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua”. Pihak kerajaan mahu semua orang di Kedah ini hidup dalam suasana sejahtera, tidak mengira miskin mahupun kaya. Tanggungjawab Kerajaan Negeri adalah berusaha sekurang-kurangnya semua orang mempunyai tapak rumah untuk hidup selesa bersama keluarga.
“Sekali lagi saya berpesan, manfaatkanlah tanah yang dimiliki ini dengan sebaik-baiknya untuk dijadikan rezeki dan sumber mendidik anak-anak mendapat pelajaran setinggi yang mungkin,” ujarnya.
Sumber : Facebook – Warta Kedah