PEMBUKAAN LIMA’23 MENAKJUBKAN, PUKAU 2,000 PENGUNJUNG

Pesembahan udara aset-aset ketenteraan milik TUDM ketika Majlis perasmian ‘Gracing dan Opening Gambit’ Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sempena Pameran Udara Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA ’23) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC). FOTO ASYRAF HAMZAH

LANGKAWI (23 MEI 2023): Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) membuka tirainya hari ini, dengan pertunjukan pembukaan menakjubkan pelbagai aset pertahanan milik negara dan antarabangsa.

Secara keseluruhan sejumlah 36 pesawat menampilkan persembahan udara yang memukau lebih 2,000 penonton yang berada di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC).

Antara pesawat yang ditampilkan adalah pesawat pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis F/A18-AD Hornet, Hawk 108/208, Sukhoi SU30MKM dan pesawat pengangkut jenis C-130H dan A400M.

Turut serta helikopter MD530G, EC725AP, EC725, AW139 dan AW109.

Pasukan aerobatik antarabangsa turut melakukan persembahan membabitkan Black Eagle dari Korea Selatan, Jupiter (Indonesia), Russian Knight (Rusia) dan August 1st (China).

Majlis pembukaan disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Pada akhir persembahan, penonton turut disajikan letupan bom, api dan kepulan asap yang menjulang tinggi selain aksi terbang rendah jet pejuang sambil melakukan aksi manuver mendebarkan.

Tinjauan mendapati rata-rata tetamu dalam dan luar negara yang hadir pada majlis perasmian di MIEC terpukau dengan persembahan udara oleh jet pejuang TUDM terbabit.

Pengunjung, Sodak Otzduck, 41, berkata, perasmian LIMA ’23 kali ini hebat dan memperlihatkan ketangkasan dan kemahiran tinggi dimiliki barisan juruterbang jet pejuang negara.

“Saya pernah menghadiri perasmian LIMA ’15, tapi persembahan (opening gambit) hari ini cukup hebat dan mempesonakan,” katanya yang juga seorang pelawat perdagangan dari Russia.

Pelawat perdagangan tempatan, Farhan Hafiz Zamani, 45, berkata persembahan yang mantap dan wajar menerima pujian kerana formasi yang ditunjukkan memang hebat dan menarik berbanding LIMA sebelum ini.

“Seolah-olah dalam medan perang apabila jet pejuang terbang rendah dan bertali arus, malah aksi akhir disertai letupan dan kepulan asap menjulang memang menarik,” katanya.

LIMA’23 yang memasuki kali ke-16 penganjurannya akan berlangsung sehingga Sabtu ini.

Sumber : Harian Metro