LANGKAWI (21 MEI 2023): Seramai lebih 1,600 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijadual bertugas sepanjang Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23) bermula Selasa hingga Sabtu ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, ia bagi menjaga keselamatan dan membantu melancarkan aliran trafik sepanjang berlangsungnya pameran berprestij itu.
“Lebih 1,600 pegawai dan anggota polis digerakkan dan dibawa masuk dari tanah besar ke pulau ini bagi melaksanakan penugasan LIMA ’23 yang kini memasuki edisi ke-16.
“Dijangka Jalan Padang Matsirat, Pantai Chenang dan Pantai Tengah menerima kehadiran kenderaan yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menasihati orang ramai supaya mematuhi arahan dan tidak menghalang lalu lintas atau memberhentikan kenderaan di tepi jalan sesuka hati kerana boleh menyebabkan kesesakan yang lebih teruk.
“Pengunjung boleh meletakkan kenderaan di padang letak kereta berhadapan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Langkawi dan hadapan LTAL, kemudian mereka boleh menggunakan bas ‘shuttle’ ke tempat pameran,” katanya.
Menurutnya, beberapa jalan utama menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Resort World Langkawi akan dijadikan jalan sehala mulai mulai 7 pagi hingga 7 malam dari Selasa hingga Sabtu.
Sumber : Harian Metro