SULTAN KEDAH BERKENAN TERIMA MENGHADAP MENTERI KD

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah menerima menghadap Fahmi di Istana Anak Bukit. FOTO Facebook.

ALOR SETAR (29 MAC 2023) : Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan menerima menghadap Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil di Istana Anak Bukit di sini hari ini.

Menurut catatan di Facebook Kedah Royal Family, sesi menghadap itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pengarah Penerangan Datuk Mohd Sukari Ab Hamid.

Sementara itu, Fahmi dalam catatan di Facebooknya menjunjung kasih Sultan Sallehuddin atas perkenan baginda menerima menghadap beliau pagi tadi.

Menurutnya pada sesi menghadap itu, beliau menyembah maklum perkara-perkara terkait dengan kementerian itu.

“Patik serta warga KKD mendoakan DYMM (Duli Yang Maha Mulia) Tuanku serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan,” katanya.

Fahmi kini dalam lawatan kerja dua hari di Kedah bermula hari ini.

Sumber : Harian Metro