LAUT TERBELAH DI LANGKAWI GAMIT PENGUNJUNG

FENOMENA ‘laut terbelah’ antara keunikan di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi dan dinantikan penduduk tempatan serta pelancong yang mengetahuinya menerusi media sosial. FOTO Hamzah Osman

LANGKAWI (21 FEBRUARI 2023) : Fenomena laut terbelah susulan kemunculan beting pasir sepanjang 600 meter di Pantai Tanjung Rhu di sini pagi ini menarik perhatian lebih 1,000 pengunjung.

Fenomena unik selama sejam mulai 7 pagi itu muncul sekali dalam setahun selepas air laut di kawasan itu surut sehingga 0.1 meter.

Difahamkan, kejadian sama yang menarik perhatian pelancong dan penduduk tempatan akan berlaku lagi esok mulai 8 pagi dan 9 pagi Khamis.

Pemandu pelancong yang juga Pencinta Alam Sekitar, Zoher Mustan, 58, berkata fenomena unik air laut surut pada paras 0.1 meter (m) dan ada ketika surut penuh berlaku pada setiap tahun.

“Apabila ia berlaku pengunjung dapat berjalan sejauh kira-kira 600 meter sehingga Pulau Penyu, Pulau Kelam Baya dan Pulau Cabang.

“Pengunjung turut berpeluang menyaksikan pelbagai hidupan laut yang biasanya ditemui ketika selam skuba termasuk ikan sebelah, cacing laut, ketam dan pena laut,” katanya.

Turut meninjau fenomena air surut itu Pegawai Daerah Langkawi, Datuk Abdul Gafar Yahya.

Abdul Gafar berkata, keunikan fenomena jarang berlaku itu diyakini boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan di pulau legenda itu.

“Rata-rata pengunjung mengetahuinya menerusi media sosial dan mereka kelihatan teruja berjalan atas beting pasir dan melihat pelbagai habitat hidupan marin.

“Keselamatan terkawal kerana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membunyikan siren amaran memastikan pengunjung berpatah balik sebelum air pasang semula,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Utara, Mohd Hafiz Abdul Majid mengesahkan air laut surut pada paras 0.1 m selama tiga hari pada waktu berbeza bermula hari ini.

Sumber : Harian Metro