KERAJAAN KEDAH, TUN DR MAHATHIR SETUJU KERJASAMA SELESAI ISU BUKIT MALUT

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor ketika sidang media selepas Pelancaran Kedah Cashless di Alor Setar. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

ALOR SETAR (19 FEBRUARI 2023) : Kerajaan negeri dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju untuk bekerjasama dalam menyelesaikan isu penempatan haram membabitkan golongan Melayu Islam Kedah (MIK) di Bukit Malut, Langkawi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor berkata isu berkenaan sudah berlarutan sekian lama dan ia memerlukan kerjasama Mahathir sebagai individu yang terbabit dengan penempatan MIK di Bukit Malut.

“Dalam pertemuan baru-baru ini, saya minta sokongan beliau (Mahathir) terhadap cadangan supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) ambil alih sebahagian tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Bukit Malut bagi dijadikan penempatan baharu penduduk yang tinggal di penempatan haram. Beliau setuju dengan cadangan itu dan sudi beri kerjasama penuh.

“Beliau antara pencetus yang membawa MIK ke situ dan kalau tak tanya Tun Mahathir, tak ada orang dah yang boleh cerita sejarah panjang-panjang mengenai Bukit Malut.

“Cuma untuk ambil alih tanah LKIM itu tak boleh mahal kerana rumah yang dibina mesti mampu dibeli golongan berkenaan supaya penempatan haram dapat dihapuskan.

“Disebabkan itu projek MKN, maka tidak sepatutnya kerajaan negeri keluarkan duit untuk bina penempatan baharu,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Tanah Bagi Daerah Kota Setar serta Pelancaran ‘Kedah Cashless’ di sini, hari ini.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi memuat naik gambar di Facebook pertemuan antara beliau dan Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 13 Februari lalu.

Sumber : Harian Metro