PERKHIDMATAN FERI KUALA PERLIS KE LANGKAWI DIHENTIKAN PADA 1, 2 MAC

FOTO Hiasan. ARKIB NSTP

ALOR SETAR (13 FEBRUARI 2023) : Perkhidmatan feri bagi laluan Langkawi-Kuala Perlis-Langkawi pada 1 dan 2 Mac depan terpaksa dihentikan berikutan paras air laut di alur pelayaran Kuala Perlis dijangka berada di bawah paras 1.6 meter.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Venture Sdn Bhd Kapten Dr Baharin Baharom berkata keadaan paras air itu mungkin akan menyebabkan tidak selamat untuk dimasuki oleh feri.

“Penumpang dinasihatkan untuk menggunakan laluan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi pada 1 dan 2 Mac depan. Terdapat lima masa perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah iaitu pada 7.30 pagi, 10 pagi, 1 tengah hari, 4 petang dan 7 malam.

“Manakala bagi laluan Kuala Kedah ke Langkawi, masa perjalanan adalah pada 7 pagi, 10.30 pagi, 1 tengah hari, 4 petang dan 7 malam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata semakan dan tempahan tiket secara dalam talian boleh dilakukan melalui aplikasi ‘Cuti-Cuti Langkawi’.

Sumber : Harian Metro