KULIM (7 FEBRUARI 2023) : Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) sudah melantik kontraktor untuk melaksanakan kerja pembinaan lencongan parit bagi menangani masalah runtuhan cerun bukit dihadapi penduduk di Taman Cengal Indah di sini, sejak 2021.
Yang Dipertua MPKK, Dr Nadzman Mustaffa berkata, pembinaan itu sudah bermula sejak 30 Januari lalu.
“Langkah ini adalah fasa awal pemulihan cerun sebelum kita memperoleh peruntukan untuk proses pembaikan menyeluruh yang memerlukan kos tinggi.
“Setakat ini, kita juga sudah mengemukakan anggaran perbelanjaan untuk kerja pemulihan cerun terbabit serta membuat permohonan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sebelum ini MPKK sudah menjalankan pemantauan sejak Mei 2021 selepas menerima aduan daripada wakil penduduk dan beberapa pelan tindakan awal sudah dijalankan bagi menangani masalah itu.
“Antara tindakan yang sudah diambil termasuk mengenal pasti status tanah yang terbabit dengan kesan runtuhan dan melakukan tinjauan dari semasa ke semasa.
“Kita turut melakukan lawatan fizikal di tapak runtuhan itu yang membabitkan agensi dan jabatan teknikal,” katanya.
Nadzman berkata, MPKK turut melakukan tindakan awal dengan menutup kesan runtuhan menggunakan plastik kanvas pada permukaan cerun untuk melindungi hakisan daripada hujan.
“Selain itu, kita juga turut melantik perunding juruukur tanah bagi menjalankan kajian kes dan reka bentuk projek pada tahun lalu.
“Kita sedia maklum dengan masalah ini (runtuhan) dan sentiasa peka serta memahami kebimbangan penduduk sekitar mengenainya,” katanya.
Difahamkan, enam rumah penduduk dengan lima daripadanya berpenghuni paling hampir serta terkesan dengan runtuhan tanah berkenaan yang dikhuatiri boleh mengundang bahaya kepada mereka.
“Jika dibiarkan, runtuhan boleh mendatangkan mudarat serta ancaman kepada 15 kediaman sekitar dengan jumlah keseluruhan penduduk dianggarkan seramai 60 orang.
“Jadi, MPKK yang bimbang dengan keselamatan penduduk kawasan itu sedang mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan peruntukan dengan segera selain melakukan kerja-kerja awal bagi mengelak runtuhan cerun bukit itu daripada menjadi lebih teruk,” katanya.
Sumber : Harian Metro