PENDANG (12 JANUARI 2023) : Kementerian Kerja Raya (KKR) menganggarkan kos baik pulih keseluruhan infrastruktur yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda negeri di Semenanjung baru-baru ini, lebih RM232 juta.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kos itu merangkumi kerja baik pulih di negeri paling teruk terjejas iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang yang dianggar berjumlah RM196 juta.
Jelasnya, kerja baik pulih semua infrastruktur sedang giat dilaksana kontraktor terbabit, namun ia dijangka mengambil masa disiapkan bergantung kepada tahap kerosakan dialami.
“Di negeri pantai timur yang paling teruk mengalami kerosakan infrastruktur akibat banjir sahaja, anggaran kos baik pulih mencecah RM196 juta dan seluruh negeri di Semenanjung adalah RM232 juta.
“Kerja baik pulih merangkumi pembaikan jalan raya, baiki jambatan, berkaitan elektrik dan pembaikan cerun akibat tanah runtuh,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau hadir Majlis Penyerahan Projek Hospital Pendang antara Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diwakili menterinya, Dr Zaliha Mustafa.
Turut berangkat menyaksikan majlis adalah Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, semua kerja pembaikan kini dianggar siap kira-kira 20 peratus dengan proses baik pulih keseluruhan perlu dilakukan secara berperingkat.
“Dua minggu lalu, kita ada melawat Kelantan dan Terengganu bagi meninjau kerosakan yang berlaku, kita lihat memang ada kerosakan teruk terutama pada jalan raya dan kerja membaikinya mungkin boleh diselesaikan cepat.
“Namun bagi kerosakan pada cerun yang runtuh, ia dijangka mengambil sedikit masa kerana ada langkah tertentu perlu dibuat terlebih dahulu. Secara keseluruhan, kerja baik pulih sudah capai 20 peratus setakat ini,” katanya.
Mengulas mengenai isu Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang masih berlarutan sehingga kini, beliau menjelaskan sistem itu akan terus diguna pakai dengan penambahbaikan perlu dibuat.
Katanya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dijangka mengadakan pertemuan bersama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) esok, bagi berbincang dan menyelesaikan masalah terbabit.
Sumber : Harian Metro