AKTIVITI RIADAH, PENDAKIAN DI BAWAH MBAS DITANGGUH SEMENTARA

ALOR SETAR (18 DISEMBER 2022) : Sebarang aktiviti beriadah, meredah hutan, mendaki, perkhemahan dan sebagainya di kawasan berisiko tinggi termasuk kawasan cerun, pantai, kepala air dan berisiko banjir di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) ditangguhkan serta-merta.

MBAS melalui laman rasmi Facebook (FB) berkata, ia berikutan amaran Fenomena Monsun Timur Laut (MTL) yang dikeluarkan oleh Jabatan Metreologi Malaysia (MET Malaysia) pada 16 Disember lalu.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan mematuhi arahan yang sudah pun dikeluarkan serta peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming turut mengarahkan semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko tinggi di seluruh negara, diarah dihentikan operasi serta ditutup selama tujuh hari berkuat kuasa serta-merta.

Sumber : Harian Metro