BANJIR DI LANGKAWI : 61 PENDUDUK DI PPS

APM Langkawi memantau kejadian air naik di Kampung Kuala Teriang, Langkawi. FOTO ihsan APM

LANGKAWI (19 OKTOBER 2022) : Banjir yang masuk hari keempat di sini, terus merekodkan pertambahan mangsa apabila seramai 61 penduduk terpaksa dipindahkan, setakat 8.30 pagi hari ini.

Jumlah itu adalah peningkatan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Syifa, Padang Matsirat, berbanding hanya 49 orang semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Ahmad Shahfikri Darus berkata, mangsa di PPS ketika ini membabitkan 17 keluarga terdiri 34 lelaki dan 27 wanita.

“Daripada jumlah itu, seramai 27 lelaki dan 22 wanita terdiri mangsa dewasa, manakala tujuh lelaki dan lima perempuan membabitkan kanak-kanak.

“Mereka dari lima kampung iaitu Kampung Atas, Limbung Putra, Buluh Penyumpit, Bukit Kemboja dan Bohor Masjid,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ahmad Shahfikri berkata, pertambahan 12 mangsa pada hari ini membabitkan Kampung Bohor Masjid berikutan kediaman mereka dinaiki air susulan hujan berterusan sejak semalam.

“Ramalan cuaca hari ini dijangka hujan renyai pada sebelah petang, manakala petang dijangka cerah dan hujan di satu dua tempat pada sebelah malam.

“Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) di talian 04-9611474 sentiasa beroperasi untuk menerima panggilan kecemasan berkaitan rumah dinaiki air, pokok tumbang dan tanah runtuh,” katanya.

Sumber : Harian Metro