SYUKUR DAPAT MASUK UUM, DITAWARKAN BIASISWA

Dr Haim Hilman (tengah) beramah mesra dengan sebahagian pelajar baharu pada Majlis Pendaltaran Kemasukan Pelajar Baharu UUM Sintok hari ini. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

SINTOK (11 OKTOBER 2022) : Hasrat pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mempunyai masalah berkaitan dokumen pengenalan diri, Mohd Omar Mokhtar Abdul Rahman, 20, untuk menyambung pengajian ke universiti akhirnya tercapai apabila dia antara 4,067 pelajar baru yang mendaftar di Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini.

Dia yang sebelum ini menghadapi masalah kerana tidak mempunyai dokumen lengkap berkaitan ibu kandungnya menyebabkan status kewarganegaraan diragui dan tidak dapat memohon Mykad.

Namun, Mohd Omar bersyukur apabila dapat untuk menyambung pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia di UUM malah turut ditawar biasiswa.

“Saya sangat bersyukur kerana dapat diberi peluang untuk menyambung pengajian di sini dan tak kisah pun nak belajar di mana sebenarnya kerana UUM juga antara salah satu pilihan saya.

“Saya akan buat yang terbaik dan tidak akan melepaskan peluang ini untuk belajar bersungguh-sungguh sepanjang berada di sini,” katanya ketika ditemui di Inapan Siswa UUM selepas pendaftaran pelajar baru hari ini.

Media pada 5 September lalu melaporkan, Mohd Omar Mokhtar Abdul Rahman dan rakannya, Salmah Aminudin, 20, masing-masing memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam STPM lalu ditawarkan pengajian di UUM selepas mereka menghadapi masalah untuk menyambung pengajian.

Sementara itu, Anis Aqila Za’aba, 21, dari Ipoh, Perak berkata, dia sangat gembira sebaik menerima tawaran menyambung pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan di UUM kerana itu adalah pilihan kedua.

Dia yang juga anak sulung kepada pegawai kewangan Media Prima Berhad, Hamila Nor Md Nor, 47, adalah pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) iaitu buta sebelah mata (silau cahaya).

“Saya sebenarnya macam tak percaya sebab masa tahu keputusan dapat sambung pengajian saya tengah bekerja sebagai juruwang di Ipoh dan saya menjerit depan pelanggan sebab sangat gembira.

“Saya tak sangka dapat menyambung pengajian di UUM dan akan belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, daripada jumlah 4,067 pelajar baharu yang mendaftar hari ini, 2,995 adalah perempuan manakala 1,072 pelajar lelaki.

Beliau berkata, mereka terdiri daripada calon lulusan STPM, Diploma, Matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan pelajar antarabangsa yang akan mengikuti 47 program pengajian yang ditawarkan di peringkat Sarjana Muda.

“Seramai 3,960 pelajar baru itu adalah warganegara manakala 205 lagi terdiri daripada pelajar antarabangsa.

“Pelajar antarabangsa paling ramai mendaftar adalah dari Indonesia (89), Jepun (4), China (4) dan Perancis (3),” katanya.

Dr Haim Hilman berkata, untuk sesi kali ini menunjukkan peningkatan kemasukan pelajar antarabangsa sebanyak 13.97 peratus berbanding kemasukan tahun lalu iaitu seramai 93 pelajar.

Beliau berkata, pada tahun ini, UUM menerima 10 pelajar OKU dan lapan pelajar orang asli dari Pahang (4), Perak (3) dan Negeri Sembilan (1).

Sumber : Harian Metro