MADA AKTIFKAN PELAN HADAPI BANJIR

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

ALOR SETAR (2 OKTOBER 2022) : Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengaktifkan pelan persediaan banjir Kawasan Muda bertujuan menghadapi fenomena La Nina yang dijangka bermula hujung tahun ini.

Pengerusinya, Ahmad Tarmizi Sulaiman, berkata pihaknya berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi dalam memastikan semua infrastruktur pengairan dan saliran serta kelengkapan lain berada dalam keadaan baik.

Katanya, ramalan cuaca bagi tempoh September 2022 hingga Februari 2023 yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan, jangkaan kitaran atmosfera berlaku di kawasan tropika, konsisten dengan keadaan La Nina.

“Ramalan menunjukkan bermula bulan ini hingga Februari tahun hadapan, Kedah dijangka menerima taburan hujan purata antara 290 milimeter hingga 440 milimeter manakala Perlis antara 200 hingga 300 milimeter.

“Kawasan Muda berkemungkinan menerima hujan lebat di kawasan empangan, sungai dan sawah dan ia boleh menyebabkan penambahan air di empangan, peningkatan aliran sungai dan kenaikan kedalaman air di sawah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Tarmizi berkata, dalam menghadapi kemungkinan banjir, MADA sentiasa mengutamakan kepentingan awam serta penanaman padi dalam menguruskan lebihan air akibat hujan.

Katanya, operasi saliran air banjir adalah melalui infrastruktur utama sedia ada yang membabitkan sistem Arau, sistem Lanabulu, sistem Alor Changileh, Pelubang Barrage serta Tandop Pasang Surut Ampang Jajar.

“Melalui perancangan awal ini, adalah diharap kerosakan harta awam dan padi dapat diminimumkan dengan kesulitan kepada peladang dapat dikurangkan sekiranya banjir melanda Kawasan Muda.

“Sehingga hari ini, paras air di Empangan MADA adalah mencukupi iaitu di Pedu pada kadar 98.27 peratus, Muda (99.16 peratus) dan Empangan Ahning (83.85 peratus),” katanya.

Sumber : Harian Metro