ALOR SETAR (8 JUN 2022) : Paras tiga empangan di Kedah hampir memenuhi kapasiti, namun tidak berisiko mengakibatkan banjir di kawasan sekitar.
Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Kamarudin Dahuli berkata, setakat semalam Empangan Pedu berada pada paras 91.54 peratus, Empangan Ahning (89.15 peratus) dan Empangan Muda (103.80 peratus).
“Di Empangan Muda berlaku sedikit limpahan air sebanyak 829 kaki padu persaat (Q), namun masih terkawal.
“Limpahan air akan melalui Sungai Muda serta tidak memberi kesan sampingan kepada peningkatan paras sungai utama dan keselamatan struktur empangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kamarudin berkata, pelepasan bekalan air sokongan daripada Empangan Pedu dan Empangan Ahning sebanyak 1,000Q juga dilakukan semalam bagi membantu permulaan aktiviti penanaman padi musim satu 2022.
Katanya, sehingga 1 Jun, aktiviti tanaman padi sudah mencapai 83.6 peratus membabitkan kawasan seluas 84,171 hektar, manakala peringkat tumbesaran pokok padi adalah antara 15 hingga 50 hari lepas tabur (HLT).
“Penanaman padi di Kawasan Muda dijangka mencapai 90 peratus pada pertengahan bulan ini. Oleh itu, pemantauan kemajuan aktiviti terus dijalankan Mada sehingga tamat musim satu.
“Peladang dinasihat supaya mengoptimumkan penggunaan air hujan di petak sawah dan sentiasa mengamalkan amalan pertanian baik serta mengikut Senarai Semak Penanaman Padi bagi mendapatkan hasil maksimum,” katanya.
Sumber : Harian Metro