BEKALAN IKAN DIJANGKA PULIH HUJUNG BULAN INI

ALOR SETAR (7 JUN 2022) : Masalah kekurangan hasil laut terutama bekalan ikan dijangka dapat diatasi sebelum penghujung bulan ini, apabila cuaca dijangka kembali pulih dan nelayan dapat keluar ke laut.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) Abdul Hamid Bahari berkata, pihaknya menjangkakan nelayan mampu mendaratkan ikan sehingga 600,000 tan berbanding hanya 300,000 tan sepanjang tempoh dua bulan kebelakangan ini.

“Masalah kekurangan bekalan ikan berlaku disebabkan beberapa faktor termasuklah keadaan cuaca tidak menentu, kekurangan tenaga pekerja asing dan kos diesel bot nelayan kelas C2.

“Namun, kami yakin isu pendaratan ikan berkurangan yang berlaku hingga menyebabkan kenaikan harga ikan di pasaran akan pulih semula pada akhir bulan ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan pendaratan ikan terutama di utara semenanjung Malaysia berkurangan hingga 70 peratus iaitu daripada lebih sejuta tan kepada kira-kira 300,000 tan sebulan berikutan keadaan cuaca tidak menentu sejak dua bulan lalu.

Kekurangan bekalan ikan itu menyebabkan harga ikan di pasaran meningkat antara 10 hingga 20 peratus berikutan permintaan orang ramai yang tinggi ketika ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula pemberian minyak kepada bot nelayan kelas C2 yang menjadi penyumbang terbesar tangkapan ikan negara.

Katanya, bot kelas C2 memerlukan sekurang-kurangnya RM45,000 untuk membeli diesel sebanyak 10,000 liter setiap kali keluar ke laut selama beberapa hari.

“Harga diesel untuk bot kelas C2 kini mencecah RM4.70 seliter berbanding RM1.65 liter bagi bot kelas A,B dan C. Saya yakin jika nelayan kelas C2 turut mendapat subsidi, maka mereka dapat mendaratkan lebih banyak ikan,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan buat masa ini Nekmat masih memiliki kira-kira 30 tan stok ikan sejuk beku untuk menampung permintaan pengguna sebelum pendaratan ikan pulih seperti sediakala.

Sumber : Harian Metro